fbpx
Zakaria

Hampir 37,000 PATI ditahan dalam tempoh 6 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen (JIM) terus meningkatkan operasi penguatkuasaan dalam membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan merekodkan tangkapan seramai 36,900 warga asing dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Jumlah itu hasil 6,237 operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan di seluruh negara bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam tempoh tersebut seramai 84,464 individu telah diperiksa.

Menurutnya, setamai 978 majikan turut ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen.

“Bagi bulan Jun sahaja, kita telah melaksanakan 1,154 operasi di seluruh negara melibatkan pemeriksaan terhadap 13,078 individu.

“Daripada jumlah itu, seramai 4,093 warga asing telah ditahan, manakala 133 majikan turut ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan imigresen,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kesalahan paling banyak dikesan dalam kalangan warga asing yang ditahan ialah tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah, diikuti kesalahan menyalahgunakan pas yang dikeluarkan.

Menyentuh isu pelarian Rohingya yang kembali menjadi perhatian, beliau berkata, JIM akan meneruskan operasi penguatkuasaan seperti biasa, namun tindakan imigresen bergantung kepada status dokumentasi individu terbabit.

Katanya, kebanyakan pelarian Rohingya di negara ini memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), justeru mereka tidak boleh dikenakan tindakan atas kesalahan imigresen seperti tiada pas atau tinggal lebih masa.

“Bagaimanapun, mereka tetap tertakluk kepada undang-undang lain. Jika melakukan kesalahan jenayah atau melanggar undang-undang lain, tindakan tetap boleh diambil oleh agensi penguat kuasa berkaitan.

“Sekiranya mereka menjalankan aktiviti seperti berniaga secara haram di tepi jalan, JIM akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi lain untuk menjalankan operasi penguatkuasaan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN