PETALING JAYA – Penyampai radio Faizal Ismail atau lebih dikenali sebagai FBI membuatkan ramai menitiskan air mata apabila dilihat sebak selepas menikahkan anak perempuannya, Khairina Iman Haziq di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya hari ini.
Dalam video yang dimuat naik Zayan.my, Faizal gagal menahan sebak apabila memeluk Khairina selepas selamat dia bergelar isteri kepada jejaka pilihan hati, Haziq Asri Zuhaimi.
“Cinta pertama seorang anak perempuan ialah bapanya.
“Khairina, anak sulung yang menjadi saksi jatuh bangun seorang ayah.
“Hari ini, gugur juga air mata Faizal. Bukan kerana kehilangan tetapi disebabkan kasih seorang ayah yang tak pernah berkurang,” tulisnya dalam ruangan kapsyen.
Dia dilihat beberapa kali mengesat air mata pada waktu tersebut sekali gus membuat ramai turut berasa sebak melihat momen manis itu.
“Bukan Faizal saja menangis, air mata kami yang melihat pun turut gugur.
“Tahniah dapat menantu tetapi memang sukar dan berat hati untuk melepaskan anak perempuan yang dijaga sejak kecil.
“Masya-Allah momen yang sangat menyentuh hati, benarlah cinta pertama anak perempuan ialah ayahnya,” komen netizen.
Difahamkan, Khairina menerima mas kahwin sebanyak RM7,777 berserta lima dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak pengantin lelaki. – KOSMO! ONLINE















