KUALA LUMPUR – Impian skuad Malayan Tigress untuk memulakan kempen Piala AFF Wanita 2026 dengan langkah kanan tidak kesampaian selepas seri 1-1 bertemu Laos dalam aksi Kumpulan A sebentar tadi.
Pada perlawanan di Stadium Kuala Lumpur Cheras itu, skuad negara kendalian Joel Cornelli memulakan saingan dengan nada positif apabila mendominasi selain melancarkan beberapa asakan bahaya ke kubu lawan.
Bagaimanapun, momentum positif itu tidak dapat diteruskan apabila Laos berjaya meraih gol pembukaan hasil penyudah Kemmy Phatdala pada minit ke-37.
Bersambung pada babak kedua, Cornelli melakukan rombakan dengan percaturan memasukkan Hadfina Firdaus membuahkan hasil apabila menanduk gol penyamaan pada minit ke-50.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dalam misi meraih tiga mata tetapi keputusan 1-1 kekal hingga wisel penamat.
Sementara itu, dalam aksi pertama Kumpulan B di venue sama petang tadi, Indonesia berjaya melakar kemenangan 2-0 ke atas Timor Leste. – KOSMO! ONLINE







