fbpx
Antara warga asing yang ditahan dalam operasi khas di Kuala Lumpur dan Selangor, kelmarin. IHSAN JIM

JIM bongkar dua sindiket transit PATI, 15 individu ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Taktik menjadikan kondominium mewah sebagai rumah transit bagi menyembunyikan pendatang asing tanpa izin (PATI) terbongkar menerusi dua operasi khas di sekitar ibu negara dan Selangor, kelmarin.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi tersebut berjaya menahan seramai 15 individu berusia antara 23 hingga 43 tahun.

Menurutnya, dalam operasi pertama kira-kira pukul 12.30 tengah malam di Cap Square Centre, sepasukan pegawai Jabatan Imigresen (JIM) menahan 10 warga Bangladesh termasuk dua lelaki yang dipercayai ‘penjaga premis’.

“Siasatan awal mendapati seorang daripada mereka memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara bagi sektor pembinaan, manakala dua wanita Bangladesh telah disenarai hitam oleh JIM tetapi dipercayai masuk semula ke negara ini melalui laluan tidak diwartakan.

“Individu lain pula didapati tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zakaria berkata, turut disita tiga pasport Bangladesh milik individu lain serta wang tunai berjumlah RM1,595 yang dipercayai hasil kegiatan tersebut.

Katanya, siasatan mendapati premis kediaman mewah itu dijadikan rumah transit sementara bagi menempatkan warga asing yang memasuki negara ini secara haram sebelum dihantar ke destinasi masing-masing.

“Pemeriksaan mendapati warga asing dikenakan bayaran antara RM700 hingga RM1,500 seorang dan sindiket ini dipercayai aktif sejak beberapa bulan lalu,” ujarnya.

Sementara itu, dalam operasi berasingan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dan Terminal Bersepadu Gombak, katanya, JIM menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai ‘transporter’ bersama empat lelaki warga India.

Jelasnya, semalam mendapati seorang daripada warga India itu pernah disenarai hitam oleh JIM namun dipercayai memasuki negara ini semula tanpa melalui pintu masuk yang diwartakan, manakala tiga lagi tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“Dalam serbuan itu, JIM menyita dua telefon bimbit, empat pasport India serta sebuah kereta Perodua Bezza yang dipercayai digunakan untuk mengangkut migran.

“Sindiket dipercayai membawa masuk warga asing terutama dari India melalui laluan haram sebelum mereka diambil di hentian bas dan dihantar ke lokasi yang ditetapkan dengan bayaran sekitar RM6,000 bagi setiap individu,” katanya.

Katanya, dua lelaki Bangladesh yang bertindak sebagai penjaga premis disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63, manakala warga asing lain disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama.

Zakaria berkata, lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai transporter pula disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Beliau menambah, kesemua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN