fbpx
Antara barangan e-waste yang ditemukan dalam kilang di Telok Panglima Garang, Kuala Langat.

Kilang e-waste haram RM2.57 juta terbongkar, 15 ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Kegiatan sebuah kilang memproses sisa elektronik (e-waste) secara haram terbongkar selepas diserbu
Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang di Teluk Panglima Garang di sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 10.30 pagi turut menahan lelaki tempatan berusia 42 tahun yang merupakan penjaga kilang bersama 14 pekerja asing.

Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Jaffri Bidin berkata, hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan dipercayai menjalankan aktiviti penyimpanan dan pemprosesan sisa elektronik tanpa dokumen serta permit yang sah.

Menurutnya, antara barangan dirampas ialah pelbagai barangan elektronik terpakai, kabel tembaga, bateri, komponen lif, mesin mampatan dan sisa buangan berjadual yang disyaki diproses secara tidak sah.

“Ketika serbuan dijalankan, terdapat 14 pekerja warga asing berusia antara 23 hingga 53 tahun berada di dalam kilang berkenaan.

“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM2.57 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 18, Seksyen 19 dan Seksyen 34 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, siasatan turut dijalankan mengikut Undang-Undang Kecil 3 Perlesenan Perdagangan, Perniagaan dan Perindustrian Majlis Perbandaran Kuala Langat.

“Kegiatan pemprosesan e-waste secara haram bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh memberi kesan buruk terhadap alam sekitar dan kesihatan awam jika tidak dikawal,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN