PETALING JAYA – Aliran trafik di Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke selatan dilaporkan sesak luar biasa hari ini apabila orang ramai mula pulang ke Johor, dipercayai bagi menunaikan tanggungjawab mengundi esok.
Menerusi perkongsian pengguna Threads, miclynnn, kesesakan trafik bermula sebaik sahaja dia meninggalkan Kuala Lumpur.
“Yang kerja kat KL nak balik Nilai guna Plus Highway – good luck (semoga berjaya). Jalan sepanjang 40 kilometer itu dipenuhi kesesakan. Sekian berita hari ini,” tulisnya.
Seorang lagi pengguna, premika07, berkata dia berdepan kesesakan sepanjang perjalanan sejak bertolak dari Kuala Lumpur.
“It started at 2.30pm when I left KL… The whoooooooole way (Ia bermula pada pukul 2.30 petang ketika saya keluar dari Kuala Lumpur dan kesesakan berlaku sepanjang perjalanan),” katanya.
Sementara itu, kaukenapapehaa mendakwa kesesakan bukan sahaja berlaku di Lebuh Raya Plus menghala ke Johor Bahru, malah di kedua-dua pintu sempadan Johor-Singapura.
Menurutnya, orang Johor dari utara dan selatan dilihat berpusu-pusu pulang untuk mengundi.
“Plus Highway KL-JB trafik sesak teruk. Pintu sempadan Singapura/Johor kedua-duanya sesak teruk. Semangat dari utara dan selatan, bangsa Johor berduyun-duyun turun untuk mengundi. Harapan kita 75 peratus bangsa Johor turun mengundi,” katanya.
Seorang lagi pengguna, luvy.dvuy, turut berpendapat kesesakan berpunca daripada orang ramai yang pulang ke Johor bagi menunaikan tanggungjawab mengundi.
“Sebab ramai orang nak pergi Johor mengundi. Sebab itu lebuh raya teruk sesak,” katanya.
Sementara itu, matchalyshah, turut memaklumkan keadaan trafik masih sesak berdasarkan paparan aplikasi navigasi.
“Masih jem (sesak) weyy tengok Maps,” katanya. – KOSMO! ONLINE















