PETALING JAYA – Hujan lebat yang berterusan sejak petang tadi menyebabkan beberapa kawasan di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya dilanda banjir kilat.
Menerusi siaran langsung yang dikongsikan pengguna TikTok, @mieraaaaa_17, paras air di Jalan 222 dan Sungai Penchala dilaporkan meningkat dengan cepat.
Menurutnya, gerai milik ibunya di sebuah medan selera di kawasan itu turut dinaiki air sehingga mencecah paras leher.
“Keadaan gerai mak saya dah naik air paras leher,” katanya ketika siaran langsung itu.
Dalam perkembangan sama, beberapa peniaga dan pelanggan di Medan Selera 223, Petaling Jaya dilaporkan terkandas selama hampir dua jam selepas kawasan berkenaan dinaiki air.
Perkongsian lain di Threads oleh pengguna @hisham.buyong, beberapa kenderaan dilihat ditenggelami air, malah ada yang berlanggar sesama sendiri sebelum dihanyutkan arus deras.
“Alamak, tengah kemuncak tiba-tiba terhenti live abang ni. Semoga dipermudahkan, banjir sekarang. Hati-hati,” tulisnya.
Selain Petaling Jaya, pengguna media sosial turut melaporkan kejadian banjir kilat di beberapa kawasan lain termasuk sekitar Bukit Bintang, dengan ramai pengguna jalan raya terkandas susulan kenaikan paras air.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka melanda beberapa negeri termasuk Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perak, Pahang, Sabah dan Sarawak sehingga petang ini.
Bagi Selangor, kawasan yang diramalkan terjejas ialah Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.
Amaran itu dikeluarkan susulan jangkaan cuaca buruk yang berpotensi menyebabkan banjir kilat di kawasan berisiko. – KOSMO! ONLINE














