GEORGE TOWN – Di sebalik kesedihan kehilangan anak bongsunya, seorang ibu, Salmah Shamsudin, 72, tidak lupa merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha menjejaki mangsa sejak dilaporkan hilang lebih sebulan lalu.
Salmah berkata, meskipun pencarian berakhir dengan berita yang amat menyedihkan, dia bersyukur kerana akhirnya dapat mengetahui nasib anaknya, Shahir Zainul, 46, dan menatap wajah bapa tunggal itu buat kali terakhir.
“Saya tak tahu macam mana nak balas jasa semua. Terima kasih kepada semua yang terlibat terutama kepada pasukan bomba, polis dan orang ramai yang tidak putus-putus membantu mencari anak mak cik,” katanya, tadi.
Menurutnya, sokongan dan doa daripada pelbagai pihak sepanjang operasi mencari mangsa memberikan kekuatan kepada keluarganya untuk terus tabah menghadapi dugaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, kes kehilangan mangsa selesai selepas identiti mayat tanpa waris yang ditempatkan di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang (HPP) itu ialah mangsa.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati HPP sebelum ini telah mengeluarkan hebahan berhubung mayat seorang lelaki dewasa yang disahkan meninggal dunia pada 11 Jun lalu. – KOSMO! ONLINE














