fbpx
ALLAHYARHAM Muhammad Uzair (gambar kecil) yang maut selepas dihanyutkan kepala air di Sungai Sedim, Kulim semalam.

Kepala air Sedim: ‘Baba tak sempat pegang tangan Uzair’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Detik seorang bapa cuba menyelamatkan anak lelakinya yang dihanyutkan kepala air di Sungai Sedim, Kulim, dekat sini semalam menjadi kenangan paling pahit buat sebuah keluarga.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa, Muhammad Uzair Ahmadi Hussain, 12, ditemukan mati lemas setelah gagal diselamatkan.

Menurut ibu mangsa, Nur Shyuhada Abdul Rahim, 39, mereka sekeluarga pada asalnya merancang mengunjungi dusun keluarga sebelum mengambil keputusan singgah mandi di kawasan rekreasi tersebut.

Menurutnya, suasana bertukar cemas sebaik terdengar jeritan orang ramai memaklumkan kejadian kepala air menyebabkan suaminya, Ahmadi Hussain Baharudin, 38, bersama adik iparnya terjun ke sungai untuk menyelamatkan anak-anak.

Katanya, mereka berjaya membawa keluar anak sulung, Muhammad Uwais, 14, namun gagal menyelamatkan anak kedua mereka, Muhammad Uzair Ahmadi Hussain, 12, yang dihanyutkan arus deras.

“Suami sempat capai tangan Uzair tetapi tak sempat pegang kerana air terlalu deras,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini hari ini.

Nur Shyuhada berkata, suaminya memaklumkan Muhammad Uzair masih mempunyai denyutan nadi ketika berjaya dibawa naik dari sungai, namun keadaannya ketika itu sudah terlalu lemah.

“Baba kata Uzair masih ada nadi ketika dibawa naik tetapi sudah lemah. Ada buat bantuan pernafasan dua kali, namun air terlalu banyak masuk ke dalam badannya,” ujarnya.

Katanya, Muhammad Uzair merupakan anak kedua daripada tiga beradik dan mesra dipanggil ‘Baby’ oleh ahli keluarga kerana sifatnya yang manja.

Jenazah Muhammad Uzair akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Aisyah, Kampung Hujung, Teluk Bagan, Alor Setar.

Kosmo! semalam melaporkan, keseronokan pengunjung bermandi-manda di Sungai Sedim bertukar tragedi apabila fenomena kepala air meragut tiga nyawa.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa yang maut ialah Nur Atikah Abdullah, 28; sepupunya, Muhammad Aariz Daniel Md. Radzi, 3, serta Muhammad Uzair daripada sebuah keluarga lain. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN