KANGAR – Seorang pempengaruh media sosial diberkas selepas didakwa merogol dan merakam gambar pornografi seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di sebuah rumah sewa di sini, bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada semalam dan suspek berusia 23 tahun kini direman selama tujuh hari bermula hari ini.
Katanya, perintah reman tersebut dikeluarkan Majistret Ana Rozana Mohd. Nor di Mahkamah Majistret di sini hari ini, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Beliau berkata, kejadian berlaku pada 17 Jun lalu apabila suspek menjemput remaja terbabit di rumahnya di Kaki Bukit, dekat sini kira-kira pukul 12 tengah malam dengan menaiki kereta jenis Proton Saga.
“Suspek kemudian membawa mangsa untuk makan di sebuah restoran sebelum membawa remaja itu ke rumah sewanya. Kejadian rogol itu didakwa berlaku di rumah tersebut sebelum suspek menghantar mangsa pulang ke rumahnya,” ujarnya.
Menurutnya, suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai kasut di Kuala Lumpur didakwa merogol dan merakam gambar remaja terbabit semasa kejadian.
“Mangsa yang masih bersekolah akan dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, di sini bagi tujuan menjalani pemeriksaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














