ALOR GAJAH – Kerajaan negeri Melaka tidak bercadang untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam masa terdekat, meskipun Johor dan Negeri Sembilan telah memulakan langkah ke arah Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, tumpuan kerajaan negeri ketika ini adalah memastikan urusan pentadbiran serta pelaksanaan pelbagai agenda pembangunan dan kebajikan rakyat.
Menurutnya, sebarang keputusan berkaitan pembubaran DUN hanya akan dibuat selepas menilai keperluan semasa dan keadaan politik negeri.
“Kita akan terus menjalankan urusan kerajaan bagi menyantuni hal ehwal rakyat sehingga satu tarikh yang akan diumumkan secara rasmi.
“Kita juga akan menghantar jentera untuk membantu pilihan raya di kedua-dua negeri itu dan selepas keputusan pilihan raya tersebut barulah kita fikirkan waktu yang sesuai,” katanya kepada pemberita selepas majlis doa selamat kepulangannya dari menunaikan ibadah haji di Kampung Pulau, Masjid Tanah, malam tadi.
Jelasnya, penggal DUN Melaka masih berbaki sehingga 30 Disember 2026, namun tarikh pembubaran boleh berlaku pada bila-bila masa bergantung kepada situasi dan pertimbangan semasa.
Tambahnya lagi, setiap negeri mempunyai keadaan berbeza dan tidak wajar disamakan antara satu sama lain.
“Suasana dan keadaan di Johor tidak sama dengan Melaka, begitu juga keadaan di Negeri Sembilan yang tidak memerlukan Melaka membubarkan DUN dalam keadaan segera. Sehingga hari ini saya belum mendapat ilham bila lagi nak dibubarkan DUN Melaka,” ujarnya.
Ditanya sama ada kemungkinan PRN Melaka diadakan serentak dengan negeri lain, beliau bagaimanapun tidak menolak perkara itu dan menyifatkan politik sebagai sesuatu yang terbuka kepada pelbagai kemungkinan. – KOSMO! ONLINE














