fbpx

Sindiket penipuan guna nama Suria KLCC tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIMBUNAN barang tiruan dalam gudang sindiket penipuan online di Sekinchan, Selangor yang diserbu polis Perlis kelmarin.

KANGAR – Satu sindiket penipuan online yang berselindung menggunakan nama pusat beli-belah terkemuka, Suria KLCC tumpas selepas diserbu polis Perlis di Sekinchan, Selangor kelmarin.

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, pihaknya turut menahan sepasang suami isteri warga tempatan dan Vietnam selain merampas pelbagai barangan dipercayai produk tiruan bernilai RM214,051.

Menurut Muhammad, serbuan itu dilakukan selepas mendapat aduan daripada seorang lelaki berusia lingkungan 40-an yang mendakwa dia ditipu berkaitan pembelian minyak jenama Dior Sauvage secara dalam talian.

“Mangsa pada 9 Januari lalu telah membuka satu pautan pada laman Facebook palsu yang menggunakan nama Suria KLCC lalu memaparkan butiran pembelian minyak wangi dengan tawaran potongan harga 66 peratus dari harga jualan sebenar namun mangsa tidak meneruskan pembelian dan keluar dari aplikasi itu.

“Pada 17 Januari, mangsa menerima panggilan dari perkhidmatan kurier menyatakan ada barangan ‘cash on delivery’ (COD) dan membuat bayaran sebelum mendapati minyak wangi yang diterima adalah palsu,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis di sini hari ini.

Jelasnya, siasatan awal polis mendapati akaun Facebook dilayari mangsa bukan laman sah milik Suria KLCC dan pihak pusat beli-belah itu turut mengeluarkan kenyataan penafian berhubung jualan barang dalam talian menggunakan nama pusat jualan itu.

Menurut Muhammad, polis Perlis kemudian melancarkan Ops Merpati dengan menyerbu sebuah gudang di Sekinchan, Selangor kelmarin dan berjaya menahan seorang lelaki yang merupakan suspek utama berusia 50-an.

“Suspek pertama direman bermula 31Januari hingga 2 Februari dan disambung reman sehingga 5 Februari ini manakala suspek kedua, seorang wanita warga Vietnam berusia 30-an ditahan hari ini.

“Polis juga merampas ratusan barangan dipercayai produk tiruan seperti jam tangan Rolex, minyak wangi jenama Dior, fon telinga AirPod dan banyak lagi produk lain bernilai RM214,051,” jelasnya.

Tambah Muhammad, pihaknya kini dalam usaha mengesan dalang utama dipercayai terdiri dari warga asing manakala laman Facebook palsu itu telah ditutup. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI