SEREMBAN – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masih berteka-teki tentang jumlah sebenar kerusi yang akan ditandingi oleh calon BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke -16 pada 1 Ogos depan.
Sumber dalaman parti memaklumkan BN akan bertanding di 26 daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan dengan UMNO dijangka meletakkan calon di 14 hingga 16 kerusi.
Desas-desus itu seakan mengesahkan bahawa berlaku kerjasama BN dan Pas di beberapa kerusi pada PRN Negeri Sembilan kali ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, sebanyak tujuh kerusi akan diberikan kepada MCA diikuti empat kerusi MIC.
Ahmad Zahid bagaimanapun enggan memaklumkan jumlah kerusi bagi UMNO yang akan dimuktamadkan pada Majlis Pengumumuman Calon BN malam ini.
“Kita bahagi (parti komponen) mengikut unjuran kebolehmenangan iaitu tujuh kerusi kepada MCA, empat kepada MIC.
“Untuk UMNO adalah jumlahnya saya atau Pengerusi BN Negeri Sembilan (Datuk Seri Mohamad Hasan) akan umum malam ini,” katanya secara ringkas kepada pemberita di Wisma UMNO di sini hari ini.
Ahmad Zahidi berkata, terdahulu beliau telah berjumpa semua bakal calon BN yang telah menandatangani ‘Aku Janji’ dan melakukan baiah kepada beliau selaku Pengerusi BN yang lazim dilakukan setiap kali pilihan raya umum atau pilihan raya kecil.
Sementara itu, Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pemilihan calon telah pun dimuktamadkan yang turut terdiri daripada sayap pergerakan Wanita dan Puteri UMNO.
“Hari ini Pengerusi BN telah pun hadir untuk berjumpa dengan bakal-bakal calon yang akan diumumkan malam ini dan semuanya telah selesai.
“Akan ada wakil daripada pimpinan UMNO, MCA dan juga MIC, termasuk wanita dan juga Puteri,” katanya.
Menurut Jalaluddin, pemilihan kesemua calon dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor, namun beliau yakin barisan yang dipilih merupakan calon terbaik untuk menghadapi PRN kali ini.
Jalaluddin turut mengesahkan ada penyandang yang tidak dicalonkan semula kerana menarik diri atas faktor keluarga dan masalah kesihatan.
“Ada juga penyandang yang akan bertukar kerusi. Siapa mereka, tunggu pengumuman malam ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE















