fbpx
Adly pada sidang akhbar Persidangan Kedua, Penggal Kelima DUN Melaka Ke-15 di Seri Negeri, Melaka hari ini. - Foto oleh AMRAN ALI/KOSMO!

Nasib kerjasama PH-BN Melaka diketahui esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Pakatan Harapan (PH) Melaka menegaskan sokongan terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka masih kekal ketika ini, namun hala tuju kerjasama bersama Barisan Nasional (BN) akan diputuskan selepas perbincangan esok.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, pihaknya mengambil perhatian terhadap cara usul pindaan perlembagaan negeri itu dibawa susulan ia tidak melalui konsensus semua parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, pendekatan berkenaan tidak selari dengan semangat kerjasama yang diamalkan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, iaitu sesuatu keputusan perlu ditangguhkan sekiranya tiada persetujuan bersama.

“Memang kalau kita lihat, antara perkara yang kita kecewa kerana usul itu dibawa dalam keadaan unilateral. Kita tahu kerajaan BN ada majoriti tapi sepatutnya di atas semangat perpaduan ia tidak dibawa dalam konteks unilateral bila ada parti-parti dalam kerajaan perpaduan itu tidak dapat menerima.

“Konsep yang sama kita gunakan dalam Kerajaan Malaysia pada hari ini, kalau kita tidak dapat konsensus maka kita tangguhkan sesuatu usul, jadi kita fikir ini hak kerajaan negeri tetapi kita ambil tanggungjawab kita,” katanya pada sidang akhbar hari terakhir Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 di Seri Negeri, hari ini.

Jelasnya, PH Melaka akan mengadakan perbincangan esok bagi menentukan pendirian gabungan itu dengan mengambil kira pandangan semua parti komponen serta kepimpinan berkaitan.

“Esok PH Negeri Melaka akan berbincang. Pandangan-pandangan ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) kita akan ambil kira, pandangan parti-parti dalam PH  juga akan kita ambil kira.

“Tetapi yang paling utama, kita juga mengambil kira pandangan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jadi, PH Melaka akan berbincang dan akan maklumkan keputusan,” katanya.

Mengulas lanjut Adly berkata,  PH Melaka menolak pindaan perlembagaan negeri berkaitan pelantikan anggota DUN lantikan berdasarkan tiga prinsip utama.

Menurutnya, jumlah maksimum tujuh anggota lantikan dianggap terlalu besar berbanding negeri-negeri lain seperti Sabah, Pahang dan Johor yang mempunyai jumlah lantikan di bawah 10 peratus.

Katanya, pelantikan tujuh anggota daripada keseluruhan 28 ADUN mewakili 25 peratus daripada jumlah keanggotaan DUN, sekali gus dikhuatiri memberi kesan terhadap prinsip demokrasi serta suara rakyat.

Beliau berkata, PH turut mengambil kira faktor kos kerana pelantikan tujuh anggota berkenaan berpotensi melibatkan perbelanjaan hampir RM1 juta berdasarkan elaun yang dicadangkan, selain kos-kos lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN