ISKANDAR PUTERI – Forest City memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan berhubung operasi Network School susulan dakwaan melibatkan kewarganegaraan seorang individu yang menyertai program berkenaan.
Dalam kenyataan hari ini, Forest City memaklumkan pihaknya memandang serius isu tersebut dan menyokong sepenuhnya pendirian Kerajaan Malaysia yang tidak akan membenarkan mana-mana pihak menggunakan Johor sebagai pangkalan kepada sebarang ideologi, gerakan atau aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang Malaysia serta boleh menjejaskan kedaulatan Johor dan negara.
Menurut kenyataan itu, Forest City bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan dalam sebarang siasatan.
“Semua dokumen berkaitan yang diperlukan akan dikemukakan bagi membantu melancarkan siasatan dan mempercepat proses penentuan fakta secara menyeluruh, tepat serta berkesan.
“Forest City bersedia memberikan kerjasama penuh dan segala bantuan yang diperlukan kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dijalankan,”menurut kenyataan itu.
Forest City turut menegaskan pendirian toleransi sifar terhadap sebarang pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan premis, ketidakpatuhan terhadap peraturan imigresen atau apa-apa aktiviti yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam serta kepentingan negara.
Menurut kenyataan itu lagi, sekiranya pihak berkuasa mendapati berlaku sebarang pelanggaran undang-undang, peraturan imigresen, syarat pelesenan, penggunaan tanah atau perjanjian, pihaknya akan melaksanakan sepenuhnya hak-hak yang diperuntukkan di sisi undang-undang dan kontrak.
Forest City menegaskan komitmennya untuk terus melaksanakan tanggungjawab, pematuhan dan ketelusan selaras dengan undang-undang Malaysia demi memastikan keselamatan komuniti, melindungi kepentingan Johor serta mempertahankan kedaulatan negara.
Semalam, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengarahkan siasatan menyeluruh dilakukan berhubung operasi Network School di Forest City susulan dakwaan terdapat warga Israel yang menyertai program itu menggunakan pasport negara kedua.
Beliau menegaskan Kerajaan Negeri Johor tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan negeri itu sebagai pangkalan untuk membawa ideologi atau gerakan yang boleh mengancam keselamatan, keharmonian dan kedaulatan negara. – KOSMO! ONLINE















