SUNGAI PETANI – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah menahan operasi dandang di sebuah kilang papan lapis di Kawasan Perindustrian Bukit Selambau, di sini semalam setelah didapati beroperasi tanpa sistem kawalan pencemaran udara.
Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) itu dilakukan susulan aduan orang awam berhubung pencemaran udara yang menjejaskan penduduk sekitar Bukit Selambau.
“Berikutan aduan yang diterima, pihak jabatan telah menjalankan pemantauan pada waktu malam serta siasatan di kawasan terlibat bagi mengenal pasti punca pencemaran.
“Hasil pemantauan dan siasatan mendapati pencemaran udara tersebut berpunca daripada sebuah kilang yang menjalankan aktiviti penghasilan papan lapis,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, pemeriksaan lanjut mendapati sebuah dandang yang digunakan di kilang itu beroperasi tanpa dilengkapi sebarang sistem kawalan pencemaran udara, sekali gus berpotensi menyebabkan pelepasan asap dan bahan pencemar ke atmosfera.
“Sehubungan itu, JAS telah mengambil tindakan POK ke atas dandang berkenaan di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi menghentikan pencemaran daripada terus berlaku.
“Tindakan POK merupakan antara langkah penguatkuasaan yang digunakan JAS untuk menghentikan operasi kelengkapan yang menjadi punca pencemaran sehingga tindakan pembetulan dilaksanakan,” ujarnya.
Tambahnya, premis itu turut diarahkan menghentikan operasi dandang tersebut serta-merta dan mengambil langkah pembaikan termasuk memasang sistem kawalan pencemaran udara yang bersesuaian sebelum sebarang permohonan untuk menyambung semula operasi dipertimbangkan JAS. – KOSMO! ONLINE















