fbpx
Sutekno berucap pada Program Celik Madani 2026 (Siri 2) dan Dharma MADANI (Siri 3) di Manara Perkeso, Putrajaya di sini, hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA/KOSMO!

627 kuil Hindu terima RM12.54 juta menerusi Dharma Madani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Kerajaan menerusi Program Dharma Madani telah meluluskan peruntukan sebanyak RM12.54 juta kepada 627 buah rumah ibadat Hindu di seluruh negara sejak Januari lalu hingga kini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, kelulusan peruntukan itu membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Perpaduan dalam memperkasa kebajikan serta pembangunan komuniti India.

Beliau berkata, secara keseluruhan, siri 1 program itu meliputi 162 rumah ibadat dengan peruntukan RM3.24 juta manakala, siri 2 pula melibatkan 297 buah dengan peruntukan RM5.94 dan siri 3 membabitkan peruntukan RM3.36 juta kepada 168 rumah.

“Melalui pelaksanaan ini, kita melihat kuil dapat terus berperanan sebagai pusat komuniti setempat melalui penganjuran kelas keagamaan, kem pembangunan diri serta pelbagai aktiviti pemerkasaan komuniti,” katanya ketika merasmikan Program Celik MADANI 2026 (Siri 2) dan Dharma Madani Siri 3 di Menara Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), di sini hari ini.

Teks ucapan Ramanan dibaca oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi),  Sutekno Ahmad Belon.

Katanya, dakwaan segelintir pihak bahawa Kerajaan Madani tidak membantu komuniti India adalah tidak berasas kerana pelbagai inisiatif telah dilaksanakan sejak tahun 2023 bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat berkenaan.

Ramanan berkata, selain Program Dharma Madani, kerajaan menerusi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia turut melaksanakan Program Kalvi Madani melibatkan 315 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dengan peruntukan RM8 juta.

Ia melibatkan pemberian komputer riba kepada 3,000 pelajar India tahun pertama institusi pengajian tinggi (IPT) berjumlah RM7.95 juta serta penyerahan Smart Board kepada 388 SJKT membabitkan RM5 juta.

Menurutnya, kerajaan turut menyediakan Program Bantuan Subsidi Dialisis bernilai RM10 juta selain menyalurkan tambahan RM5 juta bagi menaik taraf infrastruktur, kemudahan awam dan keselamatan kampung India.

“Bantuan Awal Kemasukan IPT 5.0 turut disediakan dengan peruntukan RM10 juta kepada pelajar India daripada keluarga B40 yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

“Ini belum termasuk manfaat yang diterima komuniti India melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah yang menyaksikan peruntukan RM608 juta disalurkan kepada 698,000 penerima pada 2023, RM671 juta kepada 661,000 penerima pada 2024 dan RM1 bilion kepada 680,000 penerima pada tahun lalu,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak RM46.24 juta turut disalurkan kepada 341 kuil Hindu di seluruh negara sejak 2023 menerusi Bantuan Penyelenggaraan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Sehubungan itu, beliau berharap pengurusan rumah ibadat Hindu yang menerima bantuan dapat menguruskan peruntukan berkenaan secara berintegriti, telus dan bertanggungjawab agar manfaatnya dapat dinikmati sepenuhnya oleh masyarakat.

“Ini bukti yang nyata menunjukkan keprihatinan Kerajaan Madani untuk memastikan setiap lapisan masyarakat menerima bantuan dan manfaat di samping kebajikan terus dijaga dan dipelihara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN