PETALING JAYA – Seorang ibu warga emas hanya mampu memandang anak lelakinya dengan wajah penuh kesayuan ketika dimarahi di tepi jalan berhampiran sebuah pejabat zakat di Sungai Petani, Kedah hari ini.
Rakaman berdurasi beberapa saat itu tular di media sosial sekali gus mengundang sebak orang ramai apabila wanita berkenaan dilihat berdiri sambil menggenggam tangan dan hanya menundukkan kepala ketika anaknya bercakap dengan nada tegas di sisi sebuah motosikal.
Lebih menyentuh hati, anak lelakinya yang berada atas motosikal turut berkelakuan kasar dengan mentujuh kepala wanita itu beberapa kali serta memegang objek tajam di tangan seolah-olah mahu mengugut ibunya.
Pemilik akaun yang memuat naik rakaman tersebut mendakwa pada mulanya menyangka pasangan itu ialah suami isteri sebelum menyedari mereka sebenarnya dipercayai ibu dan anak.
Menurutnya, kejadian berlaku di hadapan Pejabat Zakat Sungai Petani.
Susulan perkongsian itu, pemilik akaun berkenaan memaklumkan beliau telah menghubungi pihak pejabat zakat bagi mendapatkan bantuan.
“Pejabat zakat kata mereka akan ambil tindakan. Mereka ambil maklum. Nanti penolong amil akan pergi tengok depa. Mak dia orang kurang upaya mental lahir tahun 1968.
“Anak dan ibu itu datang pusat zakat bukan pasal bantuan tapi untuk hantar sebut harga perbaiki rumah mak dia. Rumah mak dia macam kecil usang. Pihak zakat ada pergi dah rumah mak dia semalam,” katanya.
Tambahnya lagi, anak lelaki tersebut telah berkahwin dan bekerja sebagai pengawal keselamatan serta sering mengunci ibunya di rumah apabila keluar bekerja kerana bimbang wanita itu keluar bersendirian.
Di ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa sedih melihat reaksi ibu berkenaan serta berharap pihak berwajib bertindak segera.
“Dekat luar pun dia buat macam tu je dekat mak dia. Macam mana gamaknya kat rumah? Semoga Allah lindungi mak cik tu amin,” komen Nuramalia.
“Semoga Allah balas dengan balasan setimpal untuk dia. Dosa dengan mak Allah balas kat dunia. Kesian mak cik tu,” komen Japni pula. – KOSMO! ONLINE















