KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani tidak pernah ‘menganaktirikan’ dan meminggirkan mana-mana negeri termasuk ditadbir pembangkang, malah menyalurkan peruntukan tinggi terutama kepada Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beberapa tumpuan turut diberikan kepada negeri yang memerlukan perhatian khusus terhadap projek yang tidak boleh dilengahkan seperti tebatan banjir, menaik taraf lebuh raya selain projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak.
“Kadang-kadang di dewan ini juga, di Parlimen telah membangkitkan isu ketidakadilan, kezaliman seolah-olah tidak diberikan pertimbangan.
“Kalau nak banding, saya nak tegaskan di sini bahawa Kerajaan Madani di mana (memberikan) peruntukan tertinggi untuk negeri-negeri seperti Kedah, Terengganu dan Kelantan, berbanding sebelumnya.
“Jadi saya harap penjelasan ini akan dengan sendiri memadamkan tohmahan dan fitnah yang tidak berasas,” katanya di Dewan Rakyat semalam.
Beliau berkata demikian menjawab soalan daripada Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) berhubung peruntukan kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri yang tidak adil dan tidak mencukupi berbanding hasil yang dikutip.
Anwar berkata, berdasarkan rekod dari tahun 2023 hingga 2025 untuk Kelantan mencatatkan hasil purata kira-kira RM946 juta dengan perbelanjaan ialah RM9.5 bilion.
“Kedah pula RM3.7 bilion ringgit purata hasil yang diperolehi cukai untuk Kerajaan Persekutuan, manakala perbelanjaan ialah RM9.5 bilion.
“Untuk Terengganu RM1.2 bilion, kita tambah RM1.2 bilion lagi dari hasil minyak, maka jadi RM2.4 bilion hasil dipulangkan kepada kerajaan Persekutuan. Perbelanjaannya ialah RM7.8 bilion pada tahun yang sama. Perlis hasil RM4.19 bilion, perbelanjaan RM2.2 bilion,” katanya.
Beliau berkata, seterusnya Johor merekodkan hasil sekitar RM14 bilion dengan perbelanjaan RM16 bilion.
“Untuk purata hasil cukai Selangor tahun 2023 hingga 2025 adalah RM43.6 bilion. Yang dibelanjakan untuk Selangor pada waktu sama adalah RM15 bilion peruntukan kerajaan Persekutuan.
“Untuk Pulau Pinang, purata hasil diperolehi oleh kerajaan Persekutuan untuk 2023 hingga 2025 adalah RM10.7 bilion. Perbelanjaan adalah RM7.9 bilion. Ini tentunya bertentangan dengan dakwaan diberikan mengatakan peruntukan Pulau Pinang itu lebih,” katanya.
Anwar turut memuji kerajaan negeri Sarawak yang menunjukkan perkembangan membanggakan.
“Inilah kali pertama dalam sejarah bila ada rundingan, memenuhi keperluan Perlembagaan mengiktiraf hak negeri dalam soal pelabuhan. Bila ada kesepakatan penyerahan milik, kerajaan negeri telah menyerahkan wang tunai bayaran RM1.8 bilion kepada kerajaan Persekutuan.
“Ini adalah rekod dalam sejarah kerana ini adalah kali pertama, satu kerajaan negeri menyerahkan wang tunai dan dia bagi cek tunai kepada saya,” katanya. – KOSMO! ONLINE














