PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan beberapa kawasan di enam negeri termasuk Sabah dan Sarawak sehingga pukul 3 petang ini.
Menurut MetMalaysia, kawasan terlibat ialah Kuala Muda di Kedah; Barat Daya, Timur Laut dan Seberang Perai Utara di Pulau Pinang; Seremban, Port Dickson serta Rembau di Negeri Sembilan, selain seluruh Melaka.
Di Sarawak, amaran membabitkan Kuching, Serian, Samarahan dan Sri Aman, manakala di Sabah melibatkan Telupid, Beluran dan Sandakan di Bahagian Sandakan serta Pitas dan Kudat di Bahagian Kudat.
MetMalaysia memaklumkan amaran itu dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir berlaku atau dijangka berterusan melebihi satu jam.
“Amaran ribut petir ialah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran,” katanya.
Orang ramai di kawasan terlibat dinasihatkan supaya berwaspada dan mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui saluran rasmi MetMalaysia.- KOSMO! ONLINE.













