fbpx
Gambar hiasan.

Untuk bakar kalori sebiji musang king, kena lari 22km

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Musim durian yang menyaksikan harga raja buah itu dijual murah bukan alasan untuk menikmatinya tanpa had kerana sebiji musang king boleh mengandungi sehingga 1,500 kalori.

Public Health Malaysia (PHM) berkata, bagi membakar semula jumlah kalori yang bertambah dalam badan, seseorang itu perlu berlari sejauh kira-kira 22 kilometer (km).

“Durian murah bukan lesen makan tanoa had. Ramai rasa rugi kalau tak beli banyak. Musang king pula kalau tengah murah, memang boleh buat orang hilang kawalan.

“Tapi murah pada harga, belum tentu murah pada badan,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

PHM menjelaskan, sebiji durian boleh mengandungi antara 900 hingga 1,500 kilokalori (kcal) bergantung kepada saiz buah dan jumlah isi yang dimakan.

Malah, jelas PHM untuk membakar semula tenaga tersebut, seseorang itu perlu berlari sejauh antara 13km hingga 21km bergantung kepada jumlah kalori yang diambil.

“Yang jadi masalah, kita bukan makan durian macam makan ubat. Kita makan sambil sembang. Seulas jadi dua, dua jadi setengah biji, tahu-tahu sudah sebiji,” katanya.

Sehubungan itu, PHM menegaskan durian bukanlah musuh, sebaliknya tabiat mengambilnya secara berlebihan tanpa mengawal jumlah yang dimakan boleh memberi kesan kepada kesihatan.

“Makanlah durian. Nikmati musimnya. Tapi berpada-pada. Sebab walaupun durian murah, badan kita tetap bayar harga yang sama.

“Semurah mana pun durian, sehantu durian mana pun kita, akhirnya surrender (menyerah) juga. Bila gula mula meningkat, badan rasa panas, pening dan tidak selesa, itu bukan lagi nikmat. Itu badan sedang minta kita berhenti,” pesannya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN