fbpx
Norazam (tengah) ketika Ops Bersepadu Sarang Burung (Penginapan Haram Berisiko Tinggi) di sekitar Jalan Tun H.S Lee. Foto oleh SADDAM YUSOFF/ KOSMO!

27 bilik haram atas bumbung dikesan, jadi perangkap maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Sebanyak 27 bilik penginapan haram dikesan dibina di atas bumbung tiga premis sekitar Jalan Tun H.S. Lee dalam Ops Bersepadu Sarang Burung (Penginapan Haram Berisiko Tinggi) hari ini.

Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Norazam Khamis berkata, pemeriksaan mendapati ketiga-tiga premis itu diubah suai tanpa kelulusan pihak berkuasa dengan setiap bilik dihuni lebih daripada dua orang.

Katanya, di dalam setiap bilik, ada yang dijadikan ruang memasak serta tempat tidur sekali gus meningkatkan risiko kebakaran.

Menurutnya, pemeriksaan turut mendapati terdapat premis menggunakan tangga kayu sebagai satu-satunya laluan keluar selain dibina menggunakan kayu, papan lapis dan papan gipsium yang mudah terbakar serta tidak mempunyai rintangan api mengikut piawaian keselamatan.

“Kalau penghuni terlupa menutup api ketika memasak, kebakaran boleh tercetus dengan mudah. Lebih membimbangkan, apabila tangga kayu terbakar, penghuni tidak mempunyai laluan kedua untuk menyelamatkan diri,” katanya pada sidang akhbar selepas operasi itu di sini hari ini.

Norazam berkata, JBPM akan mengeluarkan notis di bawah Seksyen 8 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 bagi menghapuskan bahaya kebakaran, manakala Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut mengarahkan struktur haram dirobohkan dalam tempoh tujuh hari.

Katanya, sekiranya pemilik masih gagal mematuhi arahan selepas tempoh tersebut, mereka boleh dikenakan tindakan denda, penjara atau kedua-duanya sekali selain JBPM boleh mendapatkan Perintah Tutup melalui mahkamah sehingga premis tidak lagi dibenarkan beroperasi.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang bekerjasama dengan DBKL untuk mengenal pasti lebih banyak premis yang diubah suai secara haram dan operasi akan diteruskan dari semasa ke semasa.

Menurutnya, antara kaedah digunakan ialah melalui risikan dengan memantau kawasan yang menjadi tumpuan penghuni terutama pada waktu malam sebelum pemeriksaan dijalankan.

“Kita lihat apabila malam mereka berpusu-pusu naik ke bahagian atas bangunan. Apabila ditanya, hampir semuanya memaklumkan mereka menginap di situ. Itulah antara kaedah kita mengenal pasti premis yang disyaki dijadikan penginapan haram,” katanya.

Beliau berkata, operasi turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjamin keselamatan anggota penguat kuasa, manakala hasil pemantauan mendapati kebanyakan premis mempunyai individu yang bertindak sebagai penyelia dan majoriti penghuninya ialah warga asing.

Terdahulu, seorang lelaki warga asing maut manakala 11 lagi terselamat dalam kebakaran sebuah rumah kedai di Jalan Tun H.S. Lee pada 12 Mei lalu. Insiden itu menjadi pencetus kepada Ops Bersepadu Sarang Burung bagi mengesan dan mengambil tindakan terhadap premis yang diubah suai secara haram serta berisiko tinggi menyebabkan kebakaran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN