PETALING JAYA – Orang ramai perlu mempersiapkan mental dan fizikal sepanjang Julai, berikutan bulan itu merekodkan jumlah hari bekerja paling lama tanpa sebarang kelepasan am.
Berdasarkan tarikh pada kalendar 2026, Julai merupakan bulan yang tidak mempunyai cuti umum dan sekali gus memperuntukkan 23 hari bekerja penuh bagi individu yang bekerja mengikut jadual Isnin hingga Jumaat.
Menerusi satu hantaran dimuat naik di aplikasi Threads oleh Zulyusrisarno, dia mengingatkan orang ramai mengenai fasa mencabar tersebut yang bakal bermula esok.
“Bulan hadapan, Julai adalah hari bekerja paling banyak bagi tahun ni iaitu 23 hari penuh untuk Isnin hingga Jumaat. Tiada cuti umum untuk makluman semua,” katanya pada hantaran tersebut.
Hantaran itu mendapat pelbagai maklum balas daripada pengguna, malah ada yang sudah merancang untuk menggunakan baki cuti tahunan (Annual Leave) masing-masing demi mengelakkan kelesuan bekerja.
“Ini masa yang sesuai untuk guna AL,” kata Wakdinofficial.
“Lepas tu nak tunggu gaji tu memang perit, dengan tak ada cutinya,” ujar Asyqhrznff.
Bagaimanapun, di sebalik rungutan tersebut, ada juga dalam kalangan pendidik yang memandang perkara itu dari sudut positif kerana sesi persekolahan anak-anak dapat berjalan dengan lebih lancar.
“Saya sejukkan hati, dengan tiada cuti ni, pelajar-pelajar saya dapat faham ilmu dengan lebih baik insya-Allah,” kata Mnwrh29. – KOSMO! ONLINE














