fbpx
SEBUAH restoran 24 jam menghentikan operasi selepas empat pekerjanya termasuk penebar roti canai dicekup JIM Melaka, hari ini.

[VIDEO] Restoran diarah tutup, penebar roti kena ‘angkut’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR GAJAH – Sebuah restoran 24 jam di kawasan Kelemak di sini terpaksa menghentikan operasi serta-merta selepas empat pekerja warga asing termasuk penebar roti canai ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), hari ini.

Dalam operasi sama bermula kira-kira pukul 10 pagi itu, dua lagi lelaki warga Myanmar pula bertindak melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran sebelum berjaya diberkas selepas dikejar kira-kira dua kilometer dari lokasi serbuan.

Pengarah JIM Melaka, Anirwan Fauzi berkata, operasi penguatkuasaan bersepadu itu dijalankan hasil risikan di beberapa premis yang dipercayai menggaji serta dikendalikan warga asing.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, seramai 40 warga asing berusia antara 20 hingga 40 tahun ditahan membabitkan 32 lelaki, enam wanita serta dua kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dan setahun.

“Kesemua mereka disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, menyalahgunakan pas serta tinggal melebihi tempoh dibenarkan.

“Empat daripada mereka adalah warga India yang bekerja di sebuah restoran mamak termasuk seorang penebar roti canai,” katanya pada sidang akhbar selepas operasi di sini hari ini.

Mengulas mengenai insiden ketika operasi dijalankan, beliau berkata, beberapa warga asing bertindak nekad melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.

“Ada yang berlari melintasi jalan utama di kawasan perindustrian sehingga membahayakan diri sendiri.

“Selain itu, dua warga Myanmar yang disyaki menyalahgunakan pas turut melarikan diri ke kawasan hutan, namun berjaya ditahan selepas dikejar kira-kira dua kilometer,” katanya.

Tambahnya, pemeriksaan turut mendapati restoran mamak terlibat dipercayai menjalankan aktiviti tambah nilai perjudian dalam talian di satu ruang khas di dalam premis berkenaan.

Anirwan berkata, pihaknya turut mengeluarkan 29 saman saksi kepada tiga warga tempatan bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN