GEORGE TOWN – Seorang lelaki Bangladesh menangis dan cuba meraih simpati anggota penguat kuasa selepas ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang di Jalan Datuk Keramat di sini, hari ini.
Lelaki terbabit antara 21 warga asing yang ditahan selepas dipercayai melakukan pelbagai kesalahan imigresen dalam pemeriksaan di empat premis perniagaan.
Pengarah JIM Pulau Pinang, Syamsul Fitry Ahmad berkata, operasi bermula pukul 9 pagi itu dilaksanakan bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang berdasarkan aduan awam serta hasil risikan.
Menurutnya, seramai 35 individu diperiksa sebelum 21 warga asing berusia antara 18 hingga 51 tahun ditahan.
“Kesemua yang ditahan terdiri daripada 15 lelaki warga India, tiga lelaki Bangladesh dan tiga lelaki Myanmar.
“Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa serta memiliki kad pengenalan yang tidak diiktiraf,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Syamsul Fitry berkata, lelaki Bangladesh yang menangis itu mendakwa bekerja di sebuah hotel dan hanya datang ke salah sebuah premis berkenaan untuk membeli barangan. – KOSMO! ONLINE















