fbpx
Pegawai imigresen mengesan salah seorang warga asing yang bersembunyi di celah timbunan kotak bagi mengelak ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Kenanga, hari ini.

‘Mana mahu sembunyi’  

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Helah warga asing bersembunyi di celah timbunan kotak, pakaian serta pelbagai barangan tidak berhasil apabila kegiatan mereka berjaya dikesan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan di Jalan Kenanga, di sini hari ini.

Tinjauan Kosmo! dalam operasi yang bermula pukul 11 pagi itu turut mendapati beberapa warga asing bertindak cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Bagaimanapun, cubaan mereka berjaya digagalkan pihak JIM yang telah mengepung laluan dan kawasan berkenaan terlebih dahulu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi tersebut yang mensasarkan premis perniagaan berjaya menahan seramai 111 warga asing berusia antara 22 hingga 52 tahun.

Menurutnya, operasi berkenaan yang dijalankan secara serentak di 16 lokasi di seluruh negara sejak semalam membabitkan lebih 876 pegawai daripada pelbagai agensi penguat kuasa.

“Operasi hari ini memberi tumpuan kepada premis perniagaan bagi mengesan warga asing yang menyalahgunakan pas serta majikan yang menggaji pekerja asing secara tidak sah.

“Antara agensi yang terlibat ialah JIM, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya pada sidang akhbar selepas operasi, di sini hari ini.

Beliau berkata, secara keseluruhan, seramai 2,260 individu diperiksa serta 503 warga asing telah ditahan bagi tempoh dua hari di seluruh negara kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, pihaknya turut mengeluarkan Borang 29 (saman kepada saksi) kepada 120 individu bagi membantu siasatan, termasuk majikan dan penjaga kepada pekerja asing yang ditahan.

“Kesalahan yang dikesan antaranya tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, tinggal melebihi tempoh dibenarkan, melanggar syarat pas serta menyalahgunakan pas yang dimiliki.

“Ada antara mereka memegang pas bagi sektor pembinaan tetapi bekerja di kedai pakaian dan premis perniagaan lain. Perbuatan itu jelas melanggar syarat pas yang telah ditetapkan,” ujarnya.

Mengulas mengenai pemegang kad UNHCR yang turut ditahan, Zakaria berkata, mereka akan menjalani proses semakan bagi mengesahkan ketulenan dokumen sebelum tindakan lanjut diambil.

“Kita akan semak terlebih dahulu sama ada kad itu tulen atau sebaliknya. Selepas semakan selesai, barulah kita tentukan sama ada mereka akan dibebaskan atau diserahkan kepada pihak berkaitan,” katanya.

Tambah beliau, JIM akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dengan memberi tumpuan kepada kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan warga asing. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN