fbpx
Mohamad Khairil (dua kiri) ketika menyantuni antara pengamal media pada Program Fam Trip SFV Fun Agro Adventure di Bestari Jaya, Kuala Selangor. Foto oleh AFIQ RAZALI

SFV jadi benteng makanan Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA SELANGOR – Lembah Buah-buahan Selangor (SFV) di Bestari Jaya muncul antara ‘benteng’ keterjaminan makanan apabila mampu mengeluarkan lebih 10 tan metrik hasil pertanian.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Datuk Dr. Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, keseluruhan pengeluaran itu bernilai kira-kira RM7 juta tahun lalu hasil pembangunan kawasan pertanian seluas hampir 1,000 hektar.

Katanya, pengeluaran makanan itu merangkumi pelbagai jenis buah-buahan dan sayur-sayuran termasuk ternakan lembu, kambing, ayam dan perusahaan kolam ikan sebagai sumber protein.

“Fokus kita bukan mengejar nilai pengeluaran semata-mata, sebaliknya mengoptimumkan penggunaan tanah untuk sektor pertanian.

“SFV menjadi pusat pengeluaran makanan termasuk sumber protein yang diuruskan Selagro Solutions Sdn. Bhd.,” katanya pada Program Fam Trip SFV Fun Agro Adventure di sini, hari ini.

Beliau berkata, PKPS kini memiliki kira-kira 500 ekor lembu yang ditempatkan di ladang Bukit Beruntung, Hulu Selangor bagi memastikan bekalan daging negeri kekal mencukupi.

Katanya, terdapat juga 21 reban ayam yang mampu menghasilkan sehingga 750,000 ekor ayam bagi setiap kitaran selama dua bulan sekali.

“Jika terjadi sesuatu yang menyebabkan terputus bekalan makanan daripada sumber import, rakyat Selangor ada masa bagi persediaan untuk tiga bulan jika terputus bekalan,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, SFV turut memberi tumpuan kepada usaha memulihara 27 spesies tanaman nadir seperti belimbing buluh, kandis, nona, sentol, keranji, kundang, tampoi dan gaharu yang semakin sukar ditemui.

“Projek melibatkan kawasan seluas dua hektar itu yang masih dalam proses pembangunan dilakukan menerusi Pusat Kecemerlangan Pertanian (ACE) sejak dua tahun lalu.

“Kita turut bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan bagi tanaman semula pokok menerusi tanaman nadir sebagai sebahagian daripada pemuliharaan hutan di kawasan yang diceroboh,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN