KUALA LANGAT – Empat sekeluarga ditahan selepas terlibat dalam penagihan dadah di Jalan Perepat Telok Panglima Garang, baru-baru ini.
Penahanan kesemua suspek termasuk dua wanita itu berusia 30 hingga 50-an itu dilakukan pada 9 Julai lalu, hasil laporan polis dibuat Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor).
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, siasatan mendapati kesemua suspek itu mempunyai pertalian melibatkan suami isteri, anak dan menantu.
Menurut beliau, penerima zakat dipercayai merupakan seorang wanita mualaf berusia 30-an berasal dari Pulau Carey.
“Pertalian ke semua suspek adalah suami, Isteri, anak dan menantu,” katanya hari ini.
Jelasnya, kesemua tangkapan telah didakwa di Mahkamah Telok Datok pada 10 Julai lalu mengikut Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan hasrat Skuad Saidina Umar Zakat Selangor untuk menyantuni asnaf di Kuala Langat berakhir dengan penemuan tidak disangka apabila rupa-rupanya pasukan berkenaan dipercayai ke ‘sarang’ penagihan dadah. – KOSMO! ONLINE















