fbpx
Abdul Rahman (kiri) dibebaskan selepas membayar ikat jamin yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini.

Inspektor didakwa minta, terima rasuah RM12,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Seorang pegawai polis didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima suapan berjumlah RM12,000 sebagai dorongan supaya tidak menuduh dua suspek yang gagal memberikan maklumat kes jenayah seksual kanak-kanak di mahkamah tahun lalu.

Tertuduh, Inspektor Abdul Rahman Khairuddin, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa secara rasuah meminta suapan tunai RM10,000 daripada wanita berusia 34 tahun sebagai dorongan supaya tidak menuduh suspek dan seorang lagi wanita atas  kesalahan di bawah Seksyen 19 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Kesalahan itu dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli kira-kira pukul 10.30 pagi pada 2 April 2025.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Tertuduh yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah IPD Jeli turut dituduh secara rasuah memperoleh wang tunai RM2,000 daripada wanita sama melalui seorang lagi wanita berusia 45 tahun sebagai dorongan untuk tidak menuduh dua suspek sama bagi kesalahan mengikut Seksyen 19 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Perbuatan itu dilakukan lokasi sama kira-kira pukul 2.30 petang pada 2 April 2025.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mariah Omar dan pegawai pendakwa, Rosmanazihah Othman, manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Khir Khairuddin.

Terdahulu, Mariah menawarkan jaminan RM10,000 berserta syarat tambahan iaitu tidak mendekati saksi pendakwaan selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Ahmah Khir dalam rayuannya memohon ikat jamin yang minimum dengan alasan anak guamnya memiliki pendapatan lebih RM 2,000 sebulan dan menanggung dua anak yang masih kecil.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu melapor diri di pejabat SPRM Kota Bharu setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 19 Ogos ini. Tertuduh membayar wang ikat jamin tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN