fbpx

Prof. Mat, Jagdeep janji beri komitmen penuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad (kiri) dan Jagdeep.

GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Menteri 1 yang selesai mengangkat sumpah jawatan hari ini, Prof. Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid bersedia untuk berkhidmat serta memberi komitmen penuh bagi memastikan kesejahteraan dan perpaduan rakyat negeri ini.

Mohamad, 49, yang mengangkat sumpah jawatan itu dan dilantik mengetuai Jawatankuasa Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat berkata, walaupun dilihat masih baharu dalam dunia politik beliau sebenarnya mempunyai pengalaman yang selari dalam portfolio yang kini dipegang beliau.

”Saya bersedia memberi komitmen penuh malah portfolio yang digalas ini bukan asing dengan saya.

“Porfolio Pembangunan Agama Islam, Pendidikan dan Pengajian Tinggi bukanlah asing kepada saya kerana sebelum ini saya Ketua Eksekutif Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang dan ia (portfolio) adalah bidang saya,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Sri Pinang di sini hari ini.

Menurutnya, beliau sedia berkhidmat kepada rakyat di Pulau Pinang terutama dalam membangunkan agama Islam, pendidikan dan pengajian tinggi.

”Kita bawakan tema kerajaan perpaduan kepada rakyat dan tugas semua barisan exco sekarang ini ialah bina semula pertumbuhan ekonomi demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri 2, Jagdeep Singh Deo pula berkata, jawatan yang digalas itu merupakan satu cabaran baharu kepadanya selepas 15 tahun bersama kepimpinan negeri.

”Sebelum ini dua penggal saya merupakan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, kali ini saya dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri 2. Portfolio baharu ini merupakan cabaran baharu untuk terus bekerja dalam satu pasukan yang diketuai Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

“Saya akan meneruskan kerja untuk semua rakyat Pulau Pinang tanpa mengira kaum atau agama,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI