fbpx

Tragedi MV Tung Sung: Mayat seorang lagi kru dijumpai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota pasukan penyelamat mengangkat mayat mangsa yang dijumpai di dalam kabin kapal MV Tung Sung kira-kira pukul 12.14 tengah hari tadi.

KUCHING – Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) dalam kapal MV Tung Sung menjumpai mayat seorang daripada kru di dalam kabin kapal kira-kira pukul 12.14 tengah hari tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md. Yunus berkata, pencari dimulakan oleh pasukan HAZMAT Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), yang diatur gerak terlebih dahulu untuk memeriksa keadaan dalam kapal bagi mengesan sekiranya terdapat gas beracun yang akan membahayakan keselamatan pasukan.

“Setelah dipastikan selamat, pencarian dalam kapal dilakukan dan menemui satu mayat di dalam kabin kapal tersebut,” katanya dalam kenyataan, sebentar tadi.

Beliau berkata mayat itu telah dibawa ke Jeti Lembaga Sungai -Sungai Sarawak (LSSS), Sebuyau dan diserah kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk dibawa ke Hospital Umum Sarawak bagi pengesahan identiti dan siasatan lanjut.

Bagaimanapun, Zin Azman berkata, pencarian lanjut di dalam bilik jentera kapal berkenaan tidak menjumpai tiga lagi mangsa yang masih hilang.

Susulan itu, katanya Op CARILAMAT telah ditamatkan pada pukul 6.30 petang tadi setelah tiada penemuan baharu dan akan disambung semula sekiranya terdapat sebarang penemuan petunjuk baharu.

Terdahulu, Op CARILAMAT pada hari ke-12 hari ini diteruskan setelah kapal MV Tung Sung berjaya diterbalikkan sepenuhnya semalam.

Sebanyak lima buah aset terlibat bagi kawalan keselamatan di sekitar kapal itu, melibatkan aset-aset dari Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin (PPM) PDRM, Sarawak Coast Guard (SCG) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dengan kekuatan seramai 82 orang pegawai dan anggota.

Pencarian mangsa dalam kapal diketuai oleh pasukan HAZMAT dan JPBM, Simunjan.

Sepanjang Op CARILAMAT dilaksanakan sejak kapal itu dilaporkan karam pada 20 Julai lalu, lima mayat telah ditemui dan tiga lagi masih hilang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI