fbpx

Pengampunan Diraja: Anwar bantah permohonan Sanusi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (kiri), Muhammad Sanusi (kanan).

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan bantahan terhadap permohonan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor untuk menentukan persoalan undang-undang berhubung Pengampunan Diraja yang diberikan kepada beliau, lima tahun lalu.

Perdana Menteri memfailkan bantahan itu pada 25 April lalu di Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah ekoran saman yang difailkannya terhadap Muhammad Sanusi berhubung ucapan berbaur fitnah yang mengaitkan beliau dengan perlakuan tidak bermoral.

Anwar membantah permohonan itu atas alasan, permohonan Muhammad Sanusi yang menyentuh Pengampunan Diraja yang diberikan kepada beliau pada 16 Mei 2018, adalah di luar bidang kuasa mahkamah.

Ahli Parlimen Tambun menyatakan, kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) merupakan perundangan mantap dan tidak boleh disahkan atau divariasikan oleh mahkamah.

Presiden PKR itu berkata, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Perkara 181 berhubung kuasa Seri Paduka memberikan pengampunan, adalah kuasa tetap dan tidak terjejas.

Anwar menegaskan, permohonan Muhammad Sanusi adalah tidak relevan, remeh, mengaibkan kuasa-kuasa Yang di-Pertuan Agong dan merupakan penyalahgunaan poses mahkamah untuk menentukan perkara-perkara yang tidak boleh diputuskan.

“Terdapat pelbagai kes di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan yang mendukung prinsip perundangan dengan memutuskan bahawa mahkamah tidak boleh mengesahkan atau mevariasikan apa-apa keputusan Yang di-Pertuan Agong,” ujar beliau.

Anwar menyatakan, walaupun persoalan yang dikemukakan itu kelihatan seperti sahih, namun ia hanya didasari oleh satu matlamat iaitu mempersoal kuasa YDPA yang muktamad dan tidak boleh dipertikai di mana-mana mahkamah di samping menggunakan mahkamah untuk mengesahkan kandungan dokumen pengampunan itu.

Muhammad Sanusi mengemukakan persoalan sama ada pengampunan yang diberikan oleh Seri Paduka pada 16 Mei 2018 adalah pengampunan penuh yang bersifat bukan sahaja mengetepikan keseluruhan hukuman yang sedang dijalani Anwar ketika itu, malah juga bersifat mengetepikan sabitan jenayah yang sedang atau telah dihadapinya.

Menteri Besar Kedah itu turut mengemukakan persoalan undang-undang lanjut sama ada pengampunan Baginda hanya terpakai kepada pertuduhan yang dirujuk secara spesifik dalam dokumen pengampunan dan tidak termasuk bagi sabitan atau hukuman lampau yang dijalaninya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI