fbpx

Kerajaan cari teknologi terkini kesan pelaku jenayah siber

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Annuar (kiri) menyampaikan watikah kepada salah seorang penerima PEDi di sebuah hotel di Ayer Keroh, Melaka, malam tadi.

MELAKA – Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) sedang mencari teknologi terkini yang digunakan di beberapa negara lain bagi menangani peningkatan bilangan kes siber membabitkan organisasi sektor awam, komersial dan individu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara tersebut telah dibincangkan dalam mesyuarat JKSN yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi mencari alternatif terbaharu menjejaki pelaku-pelaku jenayah siber.

“Kerajaan terima banyak laporan orang ditipu scammer dan ramai orang hilang duit dalam akaun, seolah-olah nampak macam kita kalah kepada penjenayah-penjenayah siber.

“Pelaku dapat mengatasi sistem yang ada dan kadang-kadang masalah teknologi menyulitkan kita untuk mengambil tindakan, kerana undang-undang sedia ada tidak dapat mengatasi masalah penipuan siber cara baru,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan Watikah Pengerusi Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) dan Taklimat Telekomunikasi Bersama Pengguna di sebuah hotel di Ayer Keroh di sini, malam tadi.

Seramai 30 PEDi baharu dari enam kawasan Parlimen di Melaka menerima watikah dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Rais Yasin.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, kementeriannya juga menjalinkan kerjasama dengan beberapa negara dalam kalangan ASEAN untuk berkongsi data serta membincangkan mengenai jenayah siber.

“Saya ada berkomunikasi dengan rakan sejawat dari ASEAN terutama yang bersempadan dengan kita kerana jenayah siber tidak boleh ditangani dengan cara biasa, sebaliknya kita perlu ada langkah-langkah baharu perlu diambil.

“Satu pasukan petugas khas telah ditubuhkan untuk mengkaji perakuan-perakuan baharu yang perlu dilakukan kepada kerangka undang-undang sedia ada untuk disemak semula,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI