fbpx
Kampong Ayer yang juga dikenali sebagai ‘The Venice of the East’ antara tempat wajib untuk dilawati.

Percutian tenang di negara asal ‘Borneo’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BRUNEI Darussalam, nama yang tidak asing bagi masyarakat Malaysia, namun amat sedikit pengetahuan tentang negara ini terutama dalam kalangan pengembara.

Brunei merupakan sebuah negara yang kaya dengan minyak dan pernah menjadi kerajaan terkuat di Kepulauan Borneo, malah pengaruhnya dikatakan pernah merentas hingga ke bandar yang kini dikenali sebagai Manila, Filipina. Nama pulau ‘Borneo’ itu sendiri dikatakan berasal daripada nama ‘Brunei’. Kini, semuanya hanyalah tinggal sejarah.

Sebagai seorang pengembara dan juga berketurunan Sarawak, soalan yang kerap ditanya kepada saya ialah: “Berbaloi ke pergi Brunei?” atau “Brunei ada apa?”
Brunei memang dikenali sebagai sebuah negara yang kurang hiburan dan tidak begitu didedahkan di laman sosial sebagai destinasi pelancongan.

Sebelum saya menjawab soalan itu, perkara pertama yang saya tekankan ialah sama ada Brunei yang dimaksudkan hanyalah Bandar Seri Begawan (BSB) iaitu ibu negara Brunei, atau keseluruhan negara itu sendiri.

Kalau percutian anda ke Brunei hanya tertumpu di BSB, mudah untuk anda merasakan kekurangan aktiviti yang boleh dilakukan dalam sehari.

Ibu negara Brunei itu tidak semegah dan tidak sepadat bandar-bandar utama di kebanyakan negara Asia Tenggara. Namun, ia menawarkan pengalaman yang unik dan tenang buat para pengembara.

Dalam percutian saya ke Brunei, antara tempat yang wajib dilawati ketika berada di BSB ialah Masjid Omar Ali Saifuddien atau lebih dikenali sebagai ‘The Golden Mosque’.

Di luar masjid terdapat sebuah perahu besar yang dihiasi ukiran emas, sekali gus memaparkan budaya Melayu dan Asia Tenggara.

Penulis bergambar di hadapan Masjid Omar Ali Saifuddien yang merupakan mercu tanda ikonik Brunei.

Kalau mahu suasana yang lebih cantik, datanglah ke sini pada waktu senja kerana pencahayaan ketika itu lebih menarik, selain memberi peluang untuk berinteraksi dengan penduduk tempatan.

Seterusnya, Brunei turut menyediakan banyak muzium untuk pengunjung, antaranya Muzium Teknologi Melayu.

Dengan bayaran hanya $3 (RM10), sejujurnya saya tidak meletakkan harapan yang tinggi terhadap muzium ini, namun ternyata tidak menghampakan. Terdapat banyak artifak Melayu yang unik dan hanya boleh ditemui di Brunei serta kawasan sekitarnya.

Seterusnya, Kampong Ayer yang juga dikenali sebagai ‘The Venice of the East’ merupakan tempat wajib untuk dilawati.

Seperti namanya, perkampungan air terbesar itu terletak di atas Sungai Brunei. Dengan bayaran beberapa dolar, saya dibawa oleh pemandu bot mengelilingi Kampong Ayer yang merangkumi kediaman, sekolah, surau malah klinik.

Selepas puas bersiar-siar, perut pula terasa lapar dan apalah maknanya mengembara tanpa mencuba makanan tempatan, bukan? Makanan tempatan seperti ambuyat dan nasi katok tidaklah terlalu asing bagi saya.

Nasi katok ibarat nasi lemak versi Brunei, manakala ambuyat pula diperbuat daripada tepung sagu dan dimakan bersama sambal yang mempunyai pelbagai variasi mengikut kawasan.

Makanan di Brunei sangat murah dan kebanyakan makanan ringannya pula tidak terdapat di Malaysia.

Baiklah, bagaimana pula dengan bahagian Brunei yang lain? Kawasan seperti Temburong menawarkan aktiviti yang berbeza.

Kalau BSB terkenal dengan suasana yang tenang dan sunyi, di sini pula terdapat aktiviti yang lebih mencabar seperti penerokaan hutan di Temburong National Park.

Justeru, nilailah sendiri sama ada berbaloi atau tidak untuk berkunjung ke Brunei.

Kalau anda gemarkan suasana yang meriah serta aktiviti hiburan, mungkin Brunei bukan tempat yang sesuai untuk anda.

Namun, kalau ketenangan dan kelainan yang anda cari, cubalah sendiri pengalaman melancong ke Brunei.

Setiap negara mempunyai keunikan tersendiri yang tidak akan mampu kita rasai di negara sendiri.

Masjid emas, ambuyat, hutan tropika dan perkampungan di atas air, semuanya menanti ketibaan anda di sana.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN