KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki warga tempatan yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong bersama tiga kilogram (kg) bunga ganja dipercayai direkrut sebagai keldai dadah oleh satu sindiket pengedaran dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, perkara itu disahkan selepas pihak berkuasa Hong Kong memaklumkan Kastam Hong Kong menemui tiga kg bunga ganja (cannabis buds) dalam bagasi milik suspek.
Menurut beliau, suspek berusia 19 tahun itu berasal dari Sarawak dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah di Malaysia.
“Siasatan mendapati suspek dipercayai direkrut sebagai keldai dadah oleh sindiket sebelum berlepas ke Hong Kong.
“Suspek tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong pada 9 Julai lalu sebelum ditahan pihak Kastam Hong Kong,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam media melaporkan, seorang lelaki warga Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong bersama tiga kilogram bunga ganja dianggar bernilai kira-kira HK$500,000 (RM260,000), minggu lalu.
Kastam Hong Kong dilapor berkata, remaja berusia 19 tahun itu tiba dengan penerbangan dari Kuala Lumpur menerusi Singapura pada 9 Julai lalu.
Menurutnya, dadah berkenaan ditemukan dalam bagasi berdaftar suspek ketika pemeriksaan kastam dijalankan. – KOSMO! ONLINE















