HULU TERENGGANU – Derita 16 tahun menjadi mangsa simbahan cuka getah oleh bapa kandung sendiri belum berakhir buat Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 24, yang masih meneruskan perjuangan untuk memulihkan kecederaan serius pada wajahnya.
Setakat ini, dia bukan sahaja telah menjalani lima pembedahan sejak 2010, malah terpaksa berulang-alik ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) setiap bulan bagi mendapatkan rawatan laser melembutkan kulit wajah.
“Tahun lalu saya menjalani prosedur paling mencabar iaitu pembedahan memasukkan tissue expander (belon perubatan untuk meregangkan kulit) pada bahagian dahi.
“Prosedur memakan masa 10 jam itu sangat menyakitkan kerana tissue expander dimasukkan ke dalam dahi sebelum ubat disuntik secara berkala bagi mengembangkan kulit untuk pembedahan seterusnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sekayu di sini semalam.
Nurul Dahyatul Fazlinda berkata, kulit dahinya kemudian digunakan untuk membentuk semula hidung yang mengalami kerosakan akibat simbahan cuka getah.
Dia yang mesra disapa Lin berkata, prosedur pembentukan hidungnya itu turut menggunakan sebahagian tulang rawannya.

“Sebelum ini, saya sukar bernafas ekoran rongga pernafasan semakin sempit akibat kesan parut yang menyebabkan kulit wajah kehilangan keanjalan.
“Alhamdulillah, saya sudah boleh bernafas dengan lebih baik selepas pembedahan itu. Begitupun, saya masih perlu menjalani satu lagi pembedahan hujung tahun ini bagi membentuk tulang hidung baharu,” ujarnya.
Katanya, dia amat berhutang budi dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu yang menanggung kos pembelian tissue expander selain Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang membantu membiayai kos rawatan serta perjalanan ke HKL.
Dia yang membantu ibunya, Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 44, berniaga di warung di hadapan rumah mereka optimis wajahnya akan kembali pulih beberapa tahun lagi biarpun kini terpaksa menjadikan HKL seperti rumah kedua.

Dalam pada itu, Lin sudah memaafkan dan tidak menyimpan dendam terhadap bapanya yang sudah dibebaskan dari penjara beberapa tahun lalu.
Dia menganggap insiden yang turut mencederakan ibunya, Che Ku Zaimah dan adiknya, Mohd. Irfan Firdaus, 19, pada 15 Ogos 2010 itu sebagai ujian dalam hidupnya.
“Saya reda dengan ujian ini dan sanggup menjalani semua rawatan ditetapkan bertahun-tahun demi memastikan tahap kesihatan bertambah baik,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun bernombor 1150041000040457 (Bank Simpanan Nasional).















