GENEVA – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran hari ini bahawa lebih 500 orang dikhuatiri terkorban berikutan laporan dua bot besar karam di luar pesisir Myanmar sejak akhir Jun lalu
Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi PBB (IOM) dan agensi pelarian PBB, UNHCR menyuarakan kebimbangan dalam kenyataan bersama berhubung laporan ‘dua bot membawa lebih 500 orang dipercaya karam di luar pesisir Myanmar beberapa hari lalu’.
Maklumat awal menunjukkan kedua-dua bot belayar dari negeri Rakhine yang dilanda perang akhir Jun lalu, dengan kebanyakan penumpang etnik minoriti Rohingya.
Sebilangan mereka dilaporkan telah bergerak dari kem-kem besar di Cox’s Bazar, Bangladesh, di mana lebih sejuta pelarian Rohingya hidup dalam keadaan daif.
Sebuah bot dipercayai membawa kira-kira 250 orang, hilang hubungan sejurus selepas belayar.
Bot kedua membawa kira-kira 280 orang pula tenggelam di luar pantai Ayeyarwady, Myanmar pada 8 Julai lalu.
“Walaupun insiden dan angka korban belum disahkan secara rasmi, UNHCR dan IOM amat bimbang dengan kemungkinan kehilangan nyawa yang dahsyat ini,” kata kenyataan sama.
Menurut UNHCR, tahun lalu sahaja menyaksikan hampir 900 pelarian Rohingya hilang atau mati di laut di utara Lautan Hindi. – AFP















