fbpx
Asyraf Wajdi

Sudah tiba masa gubal Akta Perlindungan Guru – Asyraf Wajdi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sudah tiba masanya Akta Perlindungan Guru digubal bagi melindungi pendidik yang bertindak dengan niat baik, secara munasabah dan mengikut prosedur ketika mengawal disiplin serta keselamatan pelajar.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, guru kini semakin terdedah kepada tindakan undang-undang, ancaman dan tekanan ketika melaksanakan tanggungjawab mereka.

Menurutnya, perlindungan itu penting khususnya apabila guru perlu membuat keputusan segera dalam menangani isu disiplin, keselamatan atau kecemasan di sekolah.

“Sekiranya tindakan dibuat berdasarkan undang-undang dan garis panduan Kementerian Pendidikan, guru tidak seharusnya mudah berdepan tindakan sivil atau jenayah hanya kerana ada pihak yang tidak berpuas hati.

“Perlindungan ini bukan untuk memberi kekebalan mutlak, sebaliknya memastikan mereka yang menjalankan tugas dengan suci hati tidak dibiarkan berdepan risiko bersendirian,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Asyraf Wajdi berkata, akta berkenaan juga boleh membantu mengurangkan kecenderungan membawa setiap pertikaian antara sekolah, guru dan ibu bapa terus ke mahkamah.

Sebaliknya, satu mekanisme penyelesaian awal termasuk siasatan dalaman atau mediasi boleh diwujudkan sebelum sebarang tindakan perundangan dimulakan.

“Tidak semua pertikaian perlu berakhir dengan saman. Ada isu yang boleh diselesaikan secara adil dan teratur melalui proses siasatan atau perbincangan terlebih dahulu.

“Pendekatan itu dapat mengelakkan guru daripada menanggung tekanan emosi serta kewangan yang berpanjangan,” katanya.

Beliau berkata, akta tersebut juga wajar memperuntukkan bantuan guaman atau indemniti kerajaan kepada guru yang berdepan tindakan undang-undang ketika menjalankan tugas rasmi.

Katanya, terdapat guru yang terpaksa menggunakan wang sendiri untuk mendapatkan khidmat peguam walaupun tindakan yang diambil dibuat dalam ruang lingkup tanggungjawab mereka.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, kebimbangan berlebihan terhadap saman boleh menyebabkan guru terlalu berhati-hati sehingga enggan mengambil tindakan disiplin yang sewajarnya.

Keadaan itu, katanya, boleh menjejaskan pengurusan sekolah, keselamatan pelajar dan usaha membentuk sahsiah murid.

“Guru perlu mempunyai keyakinan untuk bertindak secara tegas tetapi adil tanpa sentiasa dihantui kemungkinan dikenakan tindakan undang-undang.

“Apabila mereka dilindungi secara munasabah, tumpuan dapat diberikan sepenuhnya kepada pendidikan dan kebajikan murid,” katanya.

Tambahnya, perlindungan undang-undang yang jelas turut mampu meningkatkan penghormatan terhadap profesion perguruan serta membantu menarik dan mengekalkan bakat dalam bidang pendidikan.

“Profesion guru perlu dipelihara sebagai kerjaya yang dihormati, diyakini dan dilindungi kerana mereka memikul amanah besar dalam membentuk generasi masa hadapan,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN