PETALING JAYA – Penjumudan atau pemansuhan program akademik di institusi pendidikan tinggi (IPT) bukan sesuatu yang luar biasa, sebaliknya dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan kursus ditawarkan kekal relevan dengan keperluan industri dan pasaran pekerjaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata,
tindakan universiti di China menutup ribuan program pengajian tidak seharusnya dilihat sebagai ukuran keberanian sesebuah negara.
Sebaliknya, beliau berkata tindakan itu sebahagian daripada proses penambahbaikan akademik yang turut dilaksanakan di Malaysia.
“Pendekatan itu juga selaras dengan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir menerusi Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2026–2035.
“Pelan itu menekankan supaya IPT sentiasa responsif terhadap perubahan global, mengemas kini kurikulum secara dinamik serta memastikan program akademik kekal relevan dengan keperluan industri dan teknologi masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kolum Kata Editor Kosmo! yang dikarang oleh Timbalan Editor Kosmo!, Wan Hasnan Wan Hasan, semalam.
Beliau mempersoalkan kesediaan IPT tempatan menilai semula program pengajian susulan langkah China menghentikan atau menggantung lebih 12,200 program ijazah antara 2021 hingga 2025.
Mengulas lanjut Mohammad Shatar berkata, setiap program pengajian di Malaysia diwajibkan menjalani semakan dan penambahbaikan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh lima tahun.
“Universiti turut dibenarkan melaksanakan semakan lebih awal sekiranya terdapat keperluan berdasarkan perkembangan industri, teknologi dan kehendak pasaran pekerjaan.
“Tujuan semakan ini adalah untuk memastikan setiap program yang ditawarkan sentiasa relevan dengan kehendak industri, majikan dan perkembangan semasa, justeru sekiranya terdapat keperluan, universiti boleh melakukan semakan walaupun dalam tempoh setahun,” katanya.
Beliau berkata, MQA telah menetapkan garis panduan yang jelas kepada semua institusi pendidikan tinggi berhubung semakan kurikulum dan kegagalan mematuhi keperluan tersebut boleh menyebabkan tindakan penguatkuasaan diambil.
Pada masa sama, katanya, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan MQA memberikan autonomi kepada universiti untuk menentukan sama ada sesuatu program perlu diteruskan, diperkemas atau dijumudkan berdasarkan permintaan semasa.
“Universiti mempunyai kebebasan sepenuhnya untuk menyemak atau menjumudkan mana-mana program yang dirasakan tidak lagi memenuhi keperluan semasa.
“Ia bukan soal berani atau tidak, tetapi soal memastikan program yang ditawarkan benar-benar memberi nilai kepada pelajar dan memenuhi keperluan pasaran kerja,” katanya.
Bagaimanapun, Mohammad Shatar menegaskan sebarang keputusan untuk menjumudkan sesuatu program perlu mengambil kira kebajikan pelajar yang sedang mengikuti pengajian agar mereka tidak terjejas.
Katanya, perkara paling penting ialah memastikan pelajar yang sedang mengikuti program tersebut terus mendapat perlindungan sewajarnya sehingga menamatkan pengajian mereka.
“Proses penjumudan program sebenarnya berlaku secara berterusan di Malaysia melibatkan universiti awam dan swasta, selaras dengan usaha memastikan hanya program yang masih mempunyai permintaan dikekalkan,” katanya.
Sementara itu beliau berkata, perbandingan jumlah program yang dijumudkan antara Malaysia dengan negara seperti China, Amerika Syarikat atau India juga tidak wajar dibuat secara langsung kerana setiap negara mempunyai jumlah universiti dan skala sistem pendidikan tinggi yang berbeza.
Katanya, Malaysia mempunyai bilangan universiti jauh lebih kecil berbanding negara-negara tersebut, jadi jumlah program yang dijumudkan juga sudah tentu berbeza, jika mahu membuat perbandingan, ia perlu dilakukan dengan negara yang mempunyai saiz sistem pendidikan tinggi yang hampir sama dengan Malaysia.
“Malaysia sentiasa mengamalkan pendekatan proaktif dalam memastikan penawaran program akademik kekal dinamik dan responsif terhadap perubahan teknologi, ekonomi serta keperluan majikan.
“Kita memberi mandat kepada universiti untuk membuat keputusan terbaik sama ada meneruskan, menambah baik atau menjumudkan sesuatu program berdasarkan keperluan semasa dan pendekatan inilah yang memastikan sistem pendidikan tinggi negara terus relevan dan berdaya saing,” katanya.- KOSMO! ONLINE















