fbpx
RAMANAN dan Anthony bergambar bersama penerima Program Bantuan Subsidi Pendidikan Awal Celik Madani 2026 dan Program Dharma Madani Siri 3 Zon Selatan. Foto oleh NUR SHARIEZA ISMAIL / KOSMO!

MITRA perluas manfaat kepada semua segmen komuniti India

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN — Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) terus memperluaskan pelbagai program pembangunan komuniti India merangkumi pendidikan awal, modal insan, rumah ibadat, belia, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, kerajaan bersedia mempertimbangkan pertambahan peruntukan sekiranya pelaksanaan program terbukti berkesan.

Katanya, MITRA kini bukan sahaja memberi tumpuan kepada satu kelompok masyarakat, sebaliknya melaksanakan pelbagai inisiatif yang menyasarkan setiap peringkat umur dan lapisan komuniti.

“Hari ini hanya satu modul sahaja. Kita ada banyak program untuk kanak-kanak, tadika, pelajar sekolah, IPTA, IPTS, warga emas dan OKU. Semua segmen memang kita jaga,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Bantuan Subsidi Pendidikan Awal Celik Madani 2026 dan Program Dharma Madani Siri 3 Zon Selatan di Dewan Wisma Ceylonese, Seremban hari ini. Turut hadir Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke.

Mengulas sasaran peruntukan MITRA pada masa depan, Ramanan berkata tiada jumlah tertentu yang dianggap mencukupi kerana keperluan masyarakat sentiasa berkembang.

Bagaimanapun, katanya, sebarang pertambahan peruntukan akan bergantung kepada ruang fiskal kerajaan serta keberkesanan pelaksanaan program.

“Tahun ini peruntukan meningkat daripada RM100 juta kepada RM150 juta, iaitu peningkatan sebanyak 50 peratus. Kalau ada permintaan untuk peningkatan lagi, program itu mesti benar-benar perlu memberi manfaat dan sampai kepada komuniti sasaran. Kementerian Kewangan akan melihat sama ada peningkatan itu benar-benar diperlukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN