fbpx
Erma Fatima kini sedang sibuk melakukan pelbagai persiapan, selain teruja bakal menerima menantu lelaki pertama dalam keluarga.

Erma Fatima mahu anak bertunang ikut adat Melayu penuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Menghitung hari menjelang majlis pertunangan anak sulungnya, Norain Sofea pada 18 Julai ini, pengarah dan penerbit Erma Fatima kini sedang sibuk melakukan pelbagai persiapan, selain teruja bakal menerima menantu lelaki pertama dalam keluarga.

Ujar Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad Ali, 58, segala persiapan termasuk hantaran dan dekorasi dihasilkan sendiri sebagai hadiah terakhir buat anak sebelum melangkah ke alam rumah tangga.

“Pada 18 Julai ini saya bakal menerima menantu lelaki pertama. Hantaran dan dekorasi semuanya saya buat sendiri kerana ini hadiah terakhir yang dapat saya berikan kepada anak sebagai kenangan.

“Memang dia ada pendapat sendiri sebab dia generasi Z. Tetapi saya beritahu orang semakin lupa tentang adat Melayu. Jadi saya mahu dia mengikut adat Melayu dari A sampai Z sehingga selesai majlis.

“Kalau dia nak buat ikut selera sendiri, dia boleh buat selepas majlis yang saya rancang,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tambah bintang filem Perempuan Melayu Terakhir itu, majlis pertunangan tersebut akan menampilkan pelbagai adat tradisi Melayu sebagai usaha memelihara warisan budaya.

Bukan itu sahaja, Erma turut menetapkan agar anaknya mengenakan persalinan tradisional berasaskan songket, selari dengan konsep Melayu klasik dipilih.

“Majlis ini akan menampilkan pelbagai adat tradisi Melayu termasuk berinai, khatam al-Quran, mandi bunga, cukur jambul, berarak menggunakan tandu serta paluan kompang.

“Saya juga menetapkan anak memakai busana tradisional berasaskan songket, bukan gaun pengantin, selari dengan konsep dipilih.

“Dia tak boleh pakai gaun. Kalau nak pakai gaun, buatlah di sebelah pihak lelaki. Untuk majlis saya, dia kena pakai songket dan ikut cara Melayu yang betul,” ujarnya pada tayangan perdana What’s Next on Viu – Viu Original, di sini, malam tadi.

Sebelum ini, Erma berkongsi video dalam media sosial memaparkan dirinya mengunjungi sebuah premis bagi membeli kelengkapan hantaran sebelum dilihat tekun menyiapkan sendiri gubahan untuk majlis pertunangan anaknya.

Perkongsian tersebut mengundang perhatian ramai apabila rata-rata netizen memuji usaha Erma mempertahankan adat Melayu selain menyifatkan sentuhan peribadinya menjadikan majlis berkenaan lebih bermakna dan penuh nilai sentimental. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN