fbpx
ABD. Farid menunjukkan poster program Nikah Jamaie Syarie 2026 yang akan berlangsung pada 26 Disember depan di Masjid Sultan Idris Shah II di Ipoh hari ini.

Program nikah beramai-ramai tawar kenduri bawah RM4,000, 100 tetamu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Program Nikah Jamaie Syarie 2026 anjuran Masjid Sultan Idris Shah II diteruskan tahun ini sebagai usaha membantu bakal pengantin mendirikan rumah tangga dengan kos lebih rendah, sekali gus mengimarahkan institusi masjid sebagai pusat pembangunan komuniti.

Imam Besar masjid tersebut, Abd Farid Salleh berkata, program yang diperkenalkan sejak 2013 itu diwujudkan bagi membantu pasangan yang berdepan kekangan kewangan sehingga menangguhkan hasrat untuk berkahwin akibat peningkatan kos perkahwinan.

Menurut beliau, peningkatan kos melibatkan hantaran, kenduri, pakaian dan pelbagai keperluan lain menyebabkan ramai pasangan memerlukan perbelanjaan mencecah kira-kira RM30,000 untuk melangsungkan majlis perkahwinan.

“Perkahwinan yang dipermudahkan juga dapat mengelakkan tempoh pertunangan yang terlalu lama,” katanya pada sidang akhbar Program Nikah Jamaie Syarie 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata, selain membantu mengurangkan kos, program berkenaan bertujuan menggalakkan masyarakat mengimarahkan masjid dengan menjadikan institusi itu sebagai pusat aktiviti kemasyarakatan sebagaimana fungsinya pada zaman Rasulullah SAW.

Katanya, konsep Nikah Jamaie Syarie yang membawa maksud perkahwinan beramai-ramai mengikut syariat Islam turut menekankan kesederhanaan, perbelanjaan berhemah dan mengelakkan pembaziran dalam penganjuran majlis.

“Bagi tahun ini, yuran penyertaan ditetapkan sebanyak RM4,000 bagi setiap pasangan berbanding RM3,000 sebelum ini, namun jumlah tetamu ditingkatkan daripada 75 kepada 100 orang bagi setiap pasangan,” katanya.

Beliau berkata, pakej yang ditawarkan merangkumi pelamin, katering, jurugambar, album perkahwinan, penginapan hotel pada malam pertama serta makan malam khas bagi pasangan pengantin.

Ujarnya, penyertaan bagi edisi 2026 dibuka kepada 30 pasangan sahaja dengan tarikh tutup permohonan pada 31 Ogos ini, manakala setakat ini kira-kira 10 pasangan telah mendaftar.

“Program berkenaan dijangka berlangsung pada 26 Disember 2025 di Majlis Sultan Idris Shah II iaitu Masjid Negeri Perak yang terletak di Jalan Sultan Iskandar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN