MELAKA – Enam lelaki Rohingya diberkas selepas dipercayai terlibat dalam kes samun sebuah gudang penyimpanan barangan pembinaan di Sungai Udang membabitkan kerugian RM200,000, pada bulan lalu.
Kesemua suspek berusia antara 18 hingga 38 tahun itu ditahan sepasukan Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dalam Op Kargo di sekitar Kajang, Selangor pada 19 Jun lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, hasil siasatan awal, kegiatan samun itu dipercayai dilakukan suspek pada 15 Jun kira-kira pukul 2 pagi.
“Kumpulan ini telah mengikat tangan dan kaki pengawal keselamatan di premis berkenaan sebelum melarikan aluminium formwork yang disimpan di gudang tersebut.
“Kejadian itu membabitkan kerugian RM200,000. Susulan laporan dibuat, kita telah melancarkan Op Kargo sekitar Kajang dan berjaya menahan enam suspek etnik Rohingya,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, dalam operasi itu polis turut merampas dua buah lori, tiga guni bongkah aluminium serta dua salinan resit jualan barangan lusuh bernilai RM27,440 dan RM101,816 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan hasil kegiatan jenayah.
“Kesemua suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Ayer Keroh esok untuk didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














