PETALING JAYA – Aktiviti jualan ayam hidup menggunakan bonet kereta yang didakwa melibatkan individu etnik Rohingya di kawasan Flat Baiduri, Bandar Tasik Kesuma mengundang perhatian orang ramai.
Menerusi perkongsian pengguna Threads, @mz.syam, beberapa ekor ayam hidup dilihat diletakkan di dalam sangkar di bahagian bonet kereta untuk dijual kepada pelanggan.
“Meriah betul tempat ini dengan puak Roro, siap buka ‘car boot sale’ jual ayam hidup. Ayam hidup diletakkan di dalam sangkar, dalam bonet kereta. Lain macam. Bendera Malaysia banyak digantung, tetapi warga Malaysia batang hidung pun tak nampak,” kongsinya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna meluahkan rasa tidak puas hati dan meminta pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan serta mengambil tindakan sekiranya terdapat pelanggaran peraturan.
“Tolong buat aduan SISPAA tanpa putus asa. Teruskan susulan, telefon hari-hari pun tidak mengapa. Mereka ini kalau di ‘tag’ di media sosial, tidak dilayan,” komen seorang pengguna.
“Pak cik jual petai atas motosikal kena ambil gambar. Orang lain menjual ayam dari dalam kereta secara selamba. Lesen memandu pun belum tentu ada, lesen berniaga apatah lagi,” komen aziazima3 pula.
Seorang lagi pengguna mendakwa aktiviti perniagaan tanpa lesen boleh menjejaskan peluang peniaga tempatan.
“Berniaga sesuka hati tanpa lesen dan tanpa menghormati undang-undang. Yang membeli pun kelompok mereka juga, yang untung mereka, rakyat dan negara kita tidak dapat apa-apa. Rakyat hilang pendapatan disebabkan mereka,” katanya.
Orang ramai berharap pihak berkuasa berkaitan dapat menjalankan pemeriksaan bagi memastikan aktiviti perniagaan di kawasan berkenaan mematuhi peraturan yang ditetapkan. – KOSMO! ONLINE
View on Threads
















