SHAH ALAM – Kerajaan Selangor tidak akan melindungi mana-mana rumah ibadah yang didapati menjadi lokasi kegiatan jenayah, termasuk penyimpanan dadah.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perbuatan itu mencemarkan imej rumah ibadah yang sepatutnya menjadi tempat suci dan dihormati oleh penganut agama masing-masing.
Justeru katanya, mana-mana pihak yang menjadikan premis berkenaan sebagai tempat melakukan kegiatan jenayah tidak berhak mendapat perlindungan atau pembelaan daripada mana-mana pihak.
“Kita tidak boleh melindungi aktiviti jenayah dan tidak bermoral di sebalik rumah ibadah.
“Kita hidup dalam dunia terdedah (kepesatan media sosial). Jadi, kita perlu peka dengan aktiviti yang dijalankan mana-mana rumah ibadah,” katanya selepas program pemberian makanan nutrisi Nutrisi Selangor (Nutrisel) di Sekolah Rendah Agama Islam (SRAI) Seksyen 19, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Amirudin menasihatkan orang ramai supaya tidak menghukum atau mengecam semua rumah ibadah hanya disebabkan satu kes yang berlaku di Klang bulan lalu.
Katanya, pihak berkuasa pastinya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana rumah ibadah yang terbabit dalam kegiatan jenayah tanpa mengira kaum atau agama. – KOSMO! ONLINE
















