KUALA LUMPUR – Perselisihan faham dipercayai berpunca daripada perebutan kawasan perniagaan membawa kepada kejadian merusuh melibatkan sekumpulan individu di hadapan sebuah kafe di Desa Tun Razak, Sungai Besi, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, polis menahan sembilan individu termasuk dua suspek utama yang dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima maklumat awal berhubung kejadian sebelum anggota Unit Rondaan Bermotor (URB) Balai Polis Sungai Besi bersama Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Daerah Cheras serta beberapa anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras digerakkan ke lokasi.
“Siasatan awal mendapati pergaduhan tersebut berpunca daripada perselisihan faham berhubung perebutan kawasan perniagaan di kawasan berkenaan.
“Pihak polis berjaya menahan sembilan suspek berusia antara 16 hingga 44 tahun di sekitar lokasi kejadian dan dua suspek utama bagi kes ini turut ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, tangkapan melibatkan lapan lelaki dan seorang wanita, manakala semakan mendapati sebahagian besar suspek mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik.
Katanya, polis turut merampas beberapa barangan yang disyaki digunakan ketika kejadian dan kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Fadil menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga boleh mengganggu proses siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, IPD Cheras di talian 03-9205 0445/0465 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu, beberapa gambar dan video kejadian tular di media sosial memaparkan sekumpulan individu berkumpul di kawasan berkenaan sehingga mencetuskan kekecohan.
Rakaman yang tular turut memaparkan kehadiran anggota polis dan beberapa motosikal peronda di lokasi bagi mengawal keadaan. – KOSMO! ONLINE
View on Threads
















