KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan jumlah pemegang akaun ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ (BNPL) meningkat kepada lapan juta bagi suku pertama 2026.
MOF berkata, berdasarkan jumlah pemegang akaun tersebut, jumlah baki terkumpul BNPL mencecah RM5.3 bilion.
Manakala kata kementerian itu, jumlah tidak berbayar adalah sebanyak RM181.0 juta atau 3.4 peratus daripada jumlah baki terkumpul BNPL.
“Secara keseluruhan, hutang BNPL kekal rendah, iaitu sekitar 0.3 peratus daripada keseluruhan hutang isi rumah dalam negara setakat akhir 2025,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan melalui laman sesawang Parlimen.
Kementerian tersebut mengeluarkan kenyataan bertulis bagi menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) yang bertanyakan tentang langkah-langkah yang diambil Suruhanjaya Kredit Pengguna untuk melindungi pengguna BNPL.
Ia berikutan transaksi BNPL mencecah RM9.3 bilion pada separuh pertama 2025 di mana 40 peratus membabitkan pengguna berusia 30 tahun ke bawah termasuk sama ada had kadar faedah akan dikenakan.
Mengulas lanjut, MOF berkata, penyedia BNPL kini diwajibkan mendapatkan lesen daripada Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP).
Katanya, keperluan pelesenan itu membolehkan SKP memastikan hanya penyedia yang memenuhi keperluan kawal selia, tadbir urus dan perlindungan pengguna dibenarkan beroperasi.
“SKP sudah mengeluarkan Standard Pelesenan dan Pendaftaran, serta Standard Pelakuan yang menetapkan standard minimum perlu dipatuhi oleh semua penyedia BNPL.
“Tempoh permohonan lesen dibuka 1 Jun lalu dan penyedia BNPL sedia ada diberi tempoh hingga 30 November depan untuk mengemukakan permohonan masing-masing,” katanya.-KOSMO! ONLINE















