KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia masih kukuh dan berdaya tahan walaupun persekitaran global mencabar ketika ini.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, pertumbuhan keluaran dalam negeri kasar (KDNK) negara pada suku pertama tahun 2026 berkembang sebanyak 5.4 peratus, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh.
Menurutnya, inflasi kekal terkawal pada kadar 2.0 peratus pada Mei 2026, berbanding 1.9 peratus pada April 2026, bahkan prestasi perdagangan luar turut menyokong daya tahan ekonomi.
“Jumlah eksport bagi tempoh Januari hingga Mei 2026 mencatatkan pertumbuhan sebanyak 24.3 peratus kepada RM793.8 bilion. Aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) pada suku pertama 2026 pula berjumlah RM22.8 bilion, khususnya dalam sektor perkhidmatan.
“Prestasi ini menyumbang kepada lebihan imbangan akaun semasa sebanyak RM15.2 bilion atau 3.1 peratus kepada pendapatan negara kasar (PNK),” katanya pada penerangan kepada Ahli Dewan Rakyat berkenaan krisis bekalan global di sini hari ini.
Beliau berkata, Malaysia juga terus mencatat keyakinan pelabur dengan pada suku pertama 2026, negara merekodkan RM92.8 bilion pelaburan diluluskan melibatkan 1,249 projek dan dijangka mewujudkan lebih 50,000 peluang pekerjaan baharu.
“Penganalisis global juga mengiktiraf kedudukan Malaysia. Namun, bagi kerajaan, ukuran yang lebih penting ialah rakyat biasa masih dapat bekalan minyak di stesen minyak, mendapatkan barangan keperluan di rak kedai, meneruskan pekerjaan dan menerima bantuan apabila diperlukan.
“Itulah maksud sebenar daya tahan ekonomi. Ia bukan sekadar angka dalam laporan, tetapi kestabilan yang dapat dirasai dalam kehidupan harian rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE














