MEMASANG impian besar untuk bergelar seorang AI engineer (jurutera kecerdasan buatan) di masa hadapan menjadi fokus utama bagi Irfan Izzuddin Azmi seorang mahasiswa di Universiti Malaya (UM).
Jejaka yang berusia 21 tahun itu tekad menguasai teknologi revolusi digital global tersebut, biarpun pada masa sama dia perlu membahagikan masa dengan sukan ekstrem seperti ragbi dan duathlon.
Anak muda yang mesra disapa Irfan itu berkata, mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kecerdasan Buatan) di UM bukanlah perjalanan yang mudah baginya kerana berhadapan dengan kekangan fasiliti dan pendedahan yang agak terhad ketika di bangku sekolah.
Bagaimanapun, pemuda yang berasal dari Selangor itu berjaya membuktikan bahawa ia bukan penghalang untuk menjadikannya sasaran kerjaya yang jelas dalam dunia inovasi ini.
“Minat saya pada komputer bermula sejak kecil lagi kerana gemar bermain permainan video. Namun, waktu itu saya ketiadaaan fasiliti seperti komputer riba atau iPad yang menjadi syarat kemasukan kelas komputer di sekolah menengah.
“Namun, perkara itu tidak mematahkan semangat saya. Selepas menamatkan pengajian asasi dalam bidang Sains Fizikal di UM, saya nekad memilih jurusan Sains
Komputer dan mula fokus kepada bidang AI demi mencapai cita-cita sebagai seorang jurutera kecerdasan buatan yang kompeten,” katanya kepada K-Kampus baru-baru ini.
Ujar Irfan, cabaran mempelajari formula matematik tambahan yang rumit serta pengurusan data besar di dalam kuliah sebenarnya menjadi satu kepuasan yang menyeronokkan buat dirinya.
Baginya, segala teori pengiraan yang mencabar minda tersebut adalah asas penting untuk membentuk kepakaran dalam industri teknologi kelak.
Selain fokus memberikan komitmen penuh terhadap kod pengaturcaraan akademik, Irfan turut aktif menggalas tanggungjawab besar dalam organisasi mahasiswa.
Dia kini bertindak sebagai Ahli Jawatankuasa Kolej (JKP) Keusahawanan di Kolej Kediaman Ke-13, UM, selain memegang portfolio sebagai Penolong Ketua Kewangan bagi
Persatuan Mahasiswa Anak Negeri Selangor (Permas) UM.

Malah, anak muda ini juga pernah terpilih menyertai program pertukaran pelajar antarabangsa ke Prince of Songkla University (PSU), Thailand bagi mendalami aspek serta aktiviti kesukarelawanan.
Hasil disiplin tinggi yang diterapkan, Irfan turut aktif dalam arena sukan lasak dan berjaya mengharungi detik mencabar yang menguji ketahanan mental serta fizikalnya dalam tempoh 48 jam.
“Pengalaman paling tidak boleh dilupakan adalah apabila jadual perlawanan ragbi mewakili kolej bertembung dengan acara rasmi duathlon (larian dan berbasikal) pertama saya di Sepang pada hujung minggu yang sama.
“Hari Sabtu, saya habiskan masa bermain ragbi dari pagi sampai petang. Seusai perlawanan, saya pulang ke rumah untuk menyiapkan basikal dan berehat seketika sebelum memandu ke Sepang seawal pukul 4 pagi Ahad.
“Selepas tamat duathlon pada pukul 9 pagi, saya bergegas semula ke UM demi mengejar perlawanan akhir ragbi pada sebelah petang. Walaupun badan terlampau penat, kami berjaya memenangi perlawanan tersebut,” kongsinya.
Menurutnya, dorongan untuk kekal bertenaga dan konsisten membahagikan masa datang daripada idola sukan lasaknya, Syed Saddiq yang mampu mengimbangi jadual politik yang padat dengan sukan Ironman.
Melihat ke masa hadapan, Irfan sudah mempunyai sasaran yang sangat jelas selepas menamatkan pengajiannya di menara gading nanti.
“Teknologi AI sekarang bergerak dengan sangat laju dan mula mengambil alih pelbagai sektor industri global.
“Impian terbesar saya selepas tamat belajar nanti adalah untuk terus bekerja sebagai seorang jurutera kecerdasan buatan bagi membangunkan, melatih serta memastikan sistem kecerdasan buatan ini selamat dan memberi manfaat universal kepada masyarakat,” katanya mengakhiri bicara.














