KUALA LUMPUR – Golongan gelandangan tidak seharusnya dianggap sebagai beban atau ‘penyakit bandar’, sebaliknya perlu diberi peluang untuk bangkit kerana mereka berpotensi menjadi aset dan tenaga kerja yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
Ketua Projek Kajian Membangunkan Kerangka Fasiliti Golongan Gelandangan di Pusat Bandar Kuala Lumpur, Profesor Datuk Dr. Alias Abdullah berkata, pendekatan membantu golongan itu perlu beralih daripada sekadar memberi bantuan makanan atau pakaian kepada usaha membina semula kehidupan mereka secara menyeluruh.
Menurut beliau, konsep ‘no one left behind’ (tiada sesiapa yang dipinggirkan) perlu diterjemahkan melalui dasar yang memberi perhatian kepada kebajikan, kesihatan, tempat tinggal serta peluang pekerjaan kepada golongan berkenaan.
“Bagi saya, isu gelandangan ini sudah lama berlaku dan ia tidak akan dapat dihapuskan sepenuhnya kerana kemiskinan sentiasa wujud dari satu generasi ke generasi lain.
“Apa yang penting ialah bagaimana kita memenuhi keperluan mereka dan membawa mereka lebih dekat kepada perkhidmatan yang boleh membantu meningkatkan kualiti hidup,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program ‘Satu Langkah Bersama’ Hari Terbuka Bersama Gelandangan di sini hari ini.
Alias berkata, antara perkara asas yang perlu diberi perhatian ialah memastikan golongan gelandangan mendapat akses kepada makanan yang mencukupi, penjagaan kesihatan serta kemudahan asas seperti tempat mandi dan pakaian bersih.
“Kalau mereka memakai pakaian yang sama, sekurang-kurangnya seminggu kemudian mereka boleh mendapat pakaian baharu hasil sumbangan oleh mana-mana pihak yang prihatin.
“Kita juga perlu memikirkan pendekatan jangka panjang untuk mengubah cara hidup mereka supaya suatu hari nanti mereka mampu berdikari dan menjadi individu yang berjaya,” ujarnya.
Menurut beliau, kerajaan dan agensi berkaitan juga disaran membangunkan pangkalan data atau profil lengkap golongan gelandangan bagi membolehkan dasar serta polisi yang lebih berkesan dirangka pada masa depan.
Beliau turut mencadangkan untuk mewujudkan lebih banyak lokasi tumpuan atau hot spot yang menyediakan kemudahan asas kepada gelandangan supaya bantuan dapat disalurkan secara lebih tersusun dan efektif.
“Saya berharap suatu hari nanti kita dapat melihat bekas gelandangan menjadi individu berjaya, mungkin sebagai kaunselor, petugas kesihatan atau membantu golongan senasib mereka.
“Itulah matlamat sebenar usaha ini, bukan sekadar memberi bantuan sehari tetapi mengubah kehidupan mereka untuk jangka panjang,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














